Sultan Selangor titah ahli politik henti polemik, fokus selesaikan masalah rakyat

 Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab, khususnya ahli politik di negeri ini, supaya menghentikan polemik politik dan memberi tumpuan penuh kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

Baginda bertitah, sudah tiba masanya semua pihak fokus bekerja dan membina pembangunan yang nyata agar kebajikan rakyat terus terpelihara serta kehidupan mereka menjadi lebih selesa dan terjamin.

“Beta ingin berpesan, cukup-cukuplah bercakap pasal politik. Fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak lama lagi akan berlangsungnya pilihan raya umum,” titah baginda.

Titah tersebut disampaikan dalam Perutusan Sultan Selangor sempena Tahun Baharu 2026.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa segala perancangan dan tindakan perlu berteraskan matlamat utama iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri, selain dilaksanakan dengan niat yang tulus serta usaha yang bersungguh-sungguh.

Dalam perutusan sama, baginda turut menzahirkan ketegasan terhadap isu banjir yang disifatkan telah berlarutan terlalu lama dan perlu ditangani secara menyeluruh dengan sasaran jelas iaitu mencapai keadaan ‘zero flood’.

“Carilah kepakaran terbaik, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Gunakan ilmu, teknologi dan pengalaman.

“Jangan lagi berlindung di sebalik alasan kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan,” titah baginda.

Baginda mengakui bahawa faktor bencana alam seperti hujan lebat dan ribut tidak dapat dielakkan, namun yakin masalah banjir mampu diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang serta pelaksanaan yang jujur dan berdisiplin.

Artikel Berkaitan:

Mengakhiri perutusan, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Jadikanlah tahun baharu ini sebagai titik azam untuk menjadi insan yang lebih baik, berakhlak dan lebih bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri,” titah baginda.

Ringkasan AI

  • Sultan Selangor menitahkan semua pihak berkuasa khususnya ahli politik negeri menghentikan polemik politik dan fokus pada menyelesaikan masalah rakyat
  • Baginda menekankan pentingnya bekerja untuk pembangunan nyata demi kebajikan dan keselesaan rakyat
  • Perutusan Sultan Selangor tersebut disampaikan sempena Tahun Baharu 2026
  • Sultan Sharafuddin menggarisbawahi pentingnya menangani isu banjir secara menyeluruh untuk mencapai keadaan 'zero flood'
  • Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!