Kejatuhan harga musang king hanya babitkan buah tanpa gred - Pengusaha

Khaidir Ahmad menunjukkan buah durian musang king yang ditanam. Foto FB Khaidir Ahmad
Khaidir Ahmad menunjukkan buah durian musang king yang ditanam. Foto FB Khaidir Ahmad
A
A
A

KUANTAN- Kejatuhan harga buah durian musang king di pasaran hingga ada dijual serendah RM5 sekilogram didakwa hanya melibatkan durian jenis yang berkualiti rendah atau 'chai'.

Pengusaha dusun durian dari Temerloh, Khaidir Ahmad mendakwa, perkara itu berlaku ekoran lambakan buah durian musang king 'chai' di pasaran tempatan ketika ini.

Menurutnya, harga pasaran buah durian musang king berkualiti tinggi atau bergred tetap stabil walaupun mencatat sedikit penurunan disebabkan faktor cuaca dan permintaan rendah berbanding pengeluaran.

"Ramai mungkin tidak tahu sistem pengredan buah durian musang king Malaysia unik dan kompleks berbanding buah durian jenis lain khususnya di Pahang sebagai pengeluar durian terbaik negara.

"Musang king mempunyai sembilan gred bermula 1A diikuti 2A, 3A, 1B, 2B, 3B, 1C, 2C dan 3C berbanding hanya dua gred bagi durian jenis lain," katanya melalui hantaran yang dikongsi di sebuah akaun Facebook.

Jelas pengusaha dusun durian dari Kampung Durian Tikus, Temerloh itu, kebiasaannya, buah durian gred 2A dan 3A hanya dijual ke pasaran eksport terutama China dan Asia Barat (Timur Tengah) dengan harga AS$15 hingga AS$30 sekilogram.

"Kriteria kelayakan untuk gred itu pula pelbagai antaranya buah dari pokok tua berusia melebihi 10 tahun.

"Geografi tanaman juga turut diambil kira, dengan buah paling baik dikatakan berasal dari tanah di kawasan perbukitan dan tanah tinggi Pahang yang kaya dengan kandungan mineral," katanya.

Tambahnya, ciri-ciri fizikal setiap buah musang king dalam gred tertinggi mesti sempurna, tidak kemek, berat melebihi 1.5 kilogram sebiji dan tiada duri patah.

Artikel Berkaitan:

"Buah durian yang tidak termasuk dalam sistem gred adalah buah durian 'chai'.

"Walaupun sebahagian daripada fizikalnya nampak cantik, durian 'chai' kurang berkualiti dan kurang sedap terutama dari pokok muda yang berusia kurang 10 tahun.

"Biasa buahnya berwarna hijau terang berbanding buah pokok tua bewarna hijau gelap dan perang," ujarnya.

Khaidir berkata, disebabkan keluasan dusun durian musang king baharu yang bertambah lebih sekali ganda sejak 10 tahun lalu terutama di luar Pahang, pengeluaran buah pokok muda juga bertambah.

"Senario ini menyebabkan lambakan buah durian musang king 'chai' di pasaran tempatan yang dijual dengan harga jauh lebih murah.

"Sedangkan harga ladang dan borong durian musang king gred 1A di beberapa pusat penggredan durian di Raub dan Bentong harga ladang dan borong durian musang king masih berlegar dari RM20 hingga RM35 sekilogram," katanya.

Justeru ujarnya, dakwaan mengatakan harga durian musang king jatuh merudum musim ini adalah tidak tepat kerana ia cuma berdasarkan lambakan buah durian 'chai'.

Ringkasan AI

  • Kejatuhan harga durian musang king di pasaran adalah kerana durian berkualiti rendah atau 'chai'
  • Pengusaha dusun durian mendakwa lambakan durian 'chai' di pasaran tempatan menyebabkan fenomena ini
  • Durian musang king berkualiti tinggi atau bergred masih mengekalkan harga pasaran yang stabil
  • Musang king mempunyai sembilan gred yang unik berbanding hanya dua gred untuk durian jenis lain
  • Ciri-ciri fizikal durian dalam gred tertinggi mestilah sempurna dan tidak termasuk dalam kategori 'chai'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!