MYFutureJobs: Peluang cari kerja setaraf kelayakan

MYFutureJobs masih boleh diperkasakan melalui promosi yang lebih meluas. Gambar hiasan 123rf.
MYFutureJobs masih boleh diperkasakan melalui promosi yang lebih meluas. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

SEBANYAK 622,283 penempatan pekerjaan yang direkodkan seperti dilaporkan akhbar ini, baru-baru ini membuka mata banyak pihak.

Angka tersebut menunjukkan bahawa peluang pekerjaan untuk anak muda sebenarnya wujud dan semakin terbuka, khususnya bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran tertentu.

Ia sekali gus memberi gambaran positif kepada graduan yang sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan setaraf kelayakan mereka.

Namun, realitinya dunia pekerjaan hari ini semakin mencabar dan kompetitif. Bilangan pencari kerja terus meningkat, manakala keperluan industri pula sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.

Justeru, memiliki sijil atau ijazah semata-mata tidak lagi mencukupi. Graduan juga perlu mempunyai kemahiran praktikal, kebolehan menyesuaikan diri serta pengalaman kerja bagi memastikan mereka kekal relevan dan diyakini majikan.

Dalam konteks ini, peranan MYFutureJobs amat penting. Portal ini bukan sekadar menyenaraikan jawatan kosong, malah menyediakan padanan pekerjaan berdasarkan kemahiran, panduan kerjaya, maklumat pasaran kerja serta peluang latihan dan peningkatan kemahiran.

Kemudahan ini membantu graduan membuat pilihan kerjaya yang lebih tepat, selari dengan minat, kebolehan dan keperluan industri semasa.

Walau bagaimanapun, MYFutureJobs masih boleh diperkasakan melalui promosi yang lebih meluas dan pengukuhan jaringan profesional, termasuk peluang bimbingan serta hubungan lebih langsung antara pencari kerja dan majikan.

Pada masa yang sama, graduan juga perlu memainkan peranan dengan memanfaatkan platform ini secara aktif, antaranya dengan mengemas kini profil, mengenal pasti kekuatan diri, serta menyertai program latihan yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

Dengan sokongan sistem seperti MYFutureJobs yang terus ditambah baik serta sikap graduan yang bersedia belajar dan menyesuaikan diri, lebih ramai anak muda berpotensi membina kerjaya yang stabil dan bermakna.

Kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui gaji semata-mata, tetapi juga pengalaman, kepuasan bekerja dan keupayaan menghadapi cabaran masa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!