X

Kindly register in order to view this article
!

34 direman kerana langgar PKP

Kesemua direman empat dan tiga hari bermula hari ini kerana melanggar PKP di Mahkamah Sesyen Butterworth tadi.
A
A

BUTTERWORTH- Seramai 25 lelaki direman empat hari bermula hari ini manakala sembilan lagi direman tiga hari kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan kerajaan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Tajudin Zain di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, 19 daripada mereka termasuk tiga warga Myanmar ditahan pada jam 4.45 petang semalam di sebuah bangsal nelayan di kawasan Kampung Contoh Bagan Ajam di sini.

Menurutnya, 13 lagi ditahan pada jam 7 petang semalam di dua lokasi berbeza di Kepala Batas.

"Daripada 13 individu, sembilan daripada mereka ditahan di Kampung Kuala Bekah, Penaga kerana didapati sedang berkumpul dan melepak tanpa menghiraukan arahan berada di rumah masing-masing. Ujian saringan air kencing ke atas semua mereka negatif dan tiada rekod jenayah.

"Empat lagi ditahan di Jambatan Kampung Penaga kerana berkumpul di atas jambatan dan pemeriksaan mendapati tiga positif syabu dan salah seorang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorzainy berkata, dua lelaki turut direman empat hari kerana tidak memberi kerjasama dan melarikan diri ketika diminta pulang ke rumah pagi tadi.

Katanya, dua lelaki berusia 19 dan 23 tahun itu ditahan di kawasan Pantai Bersih di sini ketika polis melakukan rondaan pada jam 6.15 pagi.

"Kedua-dua mereka tidak memberi kerjasama dan melarikan diri selepas dinasihatkan pulang ke rumah namun berjaya ditahan.

"Hasil soal siasat, mereka dari Permatang Pauh dan Bukit Mertajam datang ke kawasan tersebut untuk mencari bekalan air ketum. Kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus