Pas harap kerajaan beri ruang bincang isu Akta 355

Pas
Pas
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan memberikan sedikit ruang untuk perbincangan berkaitan pindaan Akta 355 yang sebelum ini pernah dibawa ke Parlimen di bawah kerajaan terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, isu berkenaan adalah berkaitan umat Islam dan tidak langsung melibatkan mereka yang bukan Islam.

Beliau berkata, walaupun perkara berkenaan dilihat agak sukar sedikit buat masa sekarang namun pihaknya tidak pernah berputus asa.

"Kita akan sentiasa berusaha bagi membuat pindaan ini kerana isu ini bukannya soal politik tetapi untuk kepentingan agama Islam. Ini adalah tuntutan agama dan kita sepatutnya ketepikan kepentingan politik. Pada masa sama kita juga tidak mahu meletakkan kesalahan ke atas mana-mana pihak.

"Saya berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memberikan ruang untuk perbincangan kerana ini adalah isu melibatkan umat Islam dan kita sebagai umat Islam adalah bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Oktober tahun lalu, Pas menyuarakan pandangan agar Kerajaan Pakatan Harapan memastikan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355), antara 117 akta yang akan dimansuhkan dan dipinda.

Pas berpendapat langkah itu bagi membuktikan komitmen kerajaan PH dalam mengangkat institusi mahkamah syariah dan memperbaharui undang-undang berkaitan jenayah Syariah di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: