'Jenazah Suri bersih, cantik dan berseri' - Sukarelawan Skuad Amal Rembau kongsi pengalaman urus jenazah


REMBAU - Meskipun mayat Allahyarham Suri Narudin, 53, disahkan sudah lebih daripada tiga hari ketika ditemui, namun jenazahnya kelihatan bersih dan berseri.
Perkara itu dikongsikan oleh sukarelawan Skuad Amal Rembau, Sabariah Mat Deris, 52, yang merupakan antara individu yang menguruskan jenazah wanita itu di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau pada Rabu.
Menurutnya, jenazah wanita itu kelihatan seperti baharu saja meninggal dunia.
"Jenazah arwah bersih, cantik dan berseri. Walaupun sudah lebih tiga hari dia meninggal ketika mayatnya ditemui, tapi jenazahnya saya boleh katakan cukup sempurna.
"Alhamdulillah, ALLAH permudahkan segalanya dari awal hingga akhir," kata Sabariah ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Chembong di sini pada Rabu.
Ujarnya, keluarga Allahyarham memaklumkan yang wanita tersebut sentiasa mengamalkan Surah al-Mulk.
"Ahli keluarganya berkongsi yang arwah sebelum tidur selalu amalkan Surah Al Mulk dan surah itu sentiasa ada dalam hatinya," katanya.
Jenazah wanita Sarawak itu selamat dikebumikan pada jam 8.15 malam dengan dihadiri kira-kira 30 ahli keluarga dan kenalan terdekat.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan anak saudara Allahyarham yang mahu dikenali sebagai Syasya,38 berharap orang ramai tidak berterusan membuat spekulasi berhubung status ibu saudaranya dengan suspek utama lelaki berusia 51 tahun yang ditahan, 19 Disember lalu.
Jelasnya, keluarga hanya mengetahui status suspek dengan arwah hanyalah pasangan kekasih dan bukannya suami isteri seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Polis mengesahkan mayat yang ditemui dalam beg yang ditanam dekat sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau, adalah Suri Narudin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilapor berkata, pengesahan identiti itu dilakukan melalui cap jari yang diperolehi dan ia sepadan dengan data yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau turut mengesahkan bahawa laporan analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia sudah diterima dan mendapati profil spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat dengan sampel DNA daripada waris mangsa.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis sah mayat wanita dalam beg adalah Suri
Suspek utama dibawa ke lokasi penemuan mayat wanita dalam beg
Mayat wanita dalam beg: Penduduk dakwa suspek sudah berkahwin baharu dengan wanita Sarawak
Keluarga kenal suspek utama, dakwa hanya teman lelaki Suri
'Suspek masih ambil anak saya dari sekolah selepas makcik hilang' - Anak saudara Suri
Mayat wanita dalam beg: Mangsa, suspek dipercayai bertengkar kerana wang
Ringkasan AI
- Mayat Allahyarham Suri Narudin, 53, disahkan sudah lebih daripada tiga hari ketika ditemui namun kelihatan bersih dan berseri
- Sukarelawan Skuad Amal Rembau, Sabariah Mat Deris menguruskan jenazah di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau
- Kelihatan seperti baru meninggal dunia
- Kelaurganya memaklumkan Allahyarham sentiasa mengamalkan Surah al-Mulk
- Mayat dikebumikan dengan dihadiri kira-kira 30 ahli keluarga dan kenalan terdekat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

