Keluarga kenal suspek utama, dakwa hanya teman lelaki Suri

Suri Narudin
Suri Narudin
A
A
A

SHAH ALAM – Keluarga Suri Narudin mengakui terkejut apabila lelaki yang kini disyaki sebagai suspek utama dalam kes kehilangan wanita itu merupakan individu yang pernah diberikan kepercayaan penuh oleh mereka.

Anak saudara mangsa, Sasha, 38, berkata, suspek berusia 51 tahun itu sudah lama mengenali keluarga sejak kira-kira enam tahun lalu dan tidak pernah menimbulkan sebarang syak wasangka sebelum kejadian berkenaan.

Menurutnya, kepercayaan itu termasuk mengamanahkan lelaki berkenaan menguruskan hal melibatkan kanak-kanak dalam keluarga.

“Saya sendiri membayar dia untuk menjemput anak-anak saya dari sekolah kerana kami percaya dan selesa dengan kehadirannya,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

 

Anak saudara mangsa, Sasha
Anak saudara mangsa, Sasha

Sasha berkata, apa yang lebih mengejutkan, suspek masih menjalankan rutin tersebut seperti biasa walaupun ketika itu Suri sudah dilaporkan hilang.

“Selepas makcik saya gagal dikesan, dia masih datang mengambil dua anak perempuan saya seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Sasha, kali terakhir dia bertemu ibu saudaranya itu adalah pada 5 Disember lalu sebelum mereka hanya berhubung melalui media sosial.

Katanya, kebimbangan keluarga mula memuncak apabila mangsa gagal dihubungi sejak 8 Disember memandangkan Suri dikenal pasti sebagai individu yang aktif di media sosial dan lazimnya memberi maklum balas pantas.

“Kami mula rasa ada sesuatu yang tidak kena apabila dia langsung tidak menjawab mesej atau panggilan,” katanya.

Sasha berkata, kecurigaan semakin timbul apabila suspek memberikan penjelasan yang berubah-ubah apabila ditanya mengenai keberadaan mangsa.

“Dia beritahu makcik saya dihantar orang lain ke lapangan terbang, tetapi cerita itu tidak konsisten,” katanya.

Mengulas dakwaan yang mengaitkan mangsa dan suspek sebagai pasangan suami isteri, Sasha menegaskan perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada keluarga.

“Dalam satu laporan polis yang dibuat oleh anak suspek, dinyatakan mereka sudah berkahwin, tetapi setahu kami, makcik saya tidak pernah berkahwin dengan lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, hubungan mangsa dan suspek sekadar pasangan kekasih dan perkara itu turut menjadi punca salah faham dalam kalangan pihak tertentu.

Sasha berkata, sepanjang pengetahuannya, hubungan mereka rapat dan mangsa sering berkongsi cerita peribadi, namun kebanyakannya berkisar perkara biasa dalam perhubungan.

“Mungkin ada perselisihan faham sekali sekala, termasuk berkaitan kewangan, tetapi tidak pernah pada tahap serius,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan penemuan mayat seorang wanita yang disyaki berkaitan kes orang hilang yang dilaporkan di Selangor, sebelum satu pemeriksaan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pedas–Linggi, Rembau pada 18 Disember lalu.

Susulan penemuan tersebut, seorang lelaki telah ditahan di Melaka pada hari sama bagi membantu siasatan.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Disember bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!