Kes gaduh tular selesai, hanya salah faham

Tangkap layar video TikTok menunjukkan masing-masing bersalaman susulan insiden salah faham yang berlaku.
Tangkap layar video TikTok menunjukkan masing-masing bersalaman susulan insiden salah faham yang berlaku.
A
A
A

TAIPING - Kes pergaduhan yang tular di media sosial melibatkan pelanggan dan pekerja sebuah restoran di sini pada 20 Disember lalu sudah diselesaikan secara baik dan berpunca daripada salah faham.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial pada 23 Disember yang memaparkan kejadian pergaduhan berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 malam dan melibatkan dua pelanggan serta dua pekerja restoran berkenaan.

“Kesemua individu yang terlibat telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping bagi tujuan siasatan.

"Mereka juga telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik pada hari sama kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamad Nasir berkata, terdapat satu lagi video yang menunjukkan kedua-dua pihak bersalaman turut tular di media sosial sekali gus mengesahkan pergaduhan tersebut telah diselesaikan secara aman.

Menurutnya, kedua-dua pihak juga telah membuat laporan polis dan menyatakan perselisihan faham itu telah diselesaikan tanpa sebarang isu berbangkit.

Sehubungan itu, Mohamad Nasir menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk Taiping supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.

Sebelum ini, tular satu video seorang lelaki yang merupakan pempengaruh media sosial diserang pekerja sebuah restoran di sini menerusi Facebook.

Artikel Berkaitan:

Kemudian satu video menerusi TikTok memaparkan pekerja dan pempengaruh berkenaan bersalaman susulan insiden berkenaan.

Ringkasan AI

  • Kes pergaduhan di antara pelanggan dan pekerja restoran di Taiping diselesaikan secara baik kerana salah faham
  • Pergaduhan berlaku pada 20 Disember kira-kira jam 8 malam melibatkan dua pelanggan dan dua pekerja restoran
  • Individu terlibat telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping dan menyelesaikan perselisihan pada hari yang sama
  • Video menunjukkan kedua-dua pihak bersalaman tular, mengesahkan pergaduhan telah diselesaikan aman
  • Kedua-dua pihak membuat laporan polis dan tidak timbul isu berbangkit pasca penyelesaian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!