PKP: Tiada solat Jumaat di Perak hingga 14 April

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April depan, semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak akan turut melanjutkan arahan tiada solat Jumaat selama dua lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, perkara itu dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaras Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta berpandukan ketetapan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 25 Mac lalu.

Menurutnya, berdasarkan ketetapan itu, semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak tidak akan menjalankan solat Jumaat pada 3 dan 10 April depan sebaliknya diganti solat Zohor di kediaman masing-masing.

"Selain itu juga tiada solat fardu secara berjemaah di semua masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh lanjutan PKP.

"Semua ketetapan yang termaktub dalam Siaran Media MAIPk bertarikh 17 Mac lalu adalah terpakai," katanya dalam kenyataan media hari.

Shahrul Azam berkata, sehubungan itu, semua Jawatankuasa Kariah Masjid dan surau di negeri ini perlu melaksanakan arahan yang ditetapkan sehingga 14 April nanti.

Pada 17 Mac lalu, MAIPk dalam siaran medianya mengumumkan arahan supaya semua masjid dan surau tidak mengadakan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun, hanya pegawai masjid yang bertugas terdiri daripada seorang imam, bilal dan siak dibenarkan hadir untuk melaungkan azan serta memenuhi keperluan fardu kifayah menyempurnakan waktu solat secara berjemaah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, semua aktiviti kelas agama, kuliah dan pengajian di masjid, surau serta musala dihentikan serta merta bagi meminimumkan pendedahan risiko Covid-19.