Cadang UMNO angkat resolusi pembebasan Najib kepada Agong - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dicadang mengangkat resolusi rasmi parti berhubung pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, resolusi yang mencerminkan pandangan ahli-ahli UMNO itu boleh diangkat tertakluk kepada keputusan dan mandat yang akan diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO, Januari depan.

Menurut beliau, penyampaian resolusi itu bertujuan menzahirkan keprihatinan dan rayuan ahli akar umbi UMNO supaya bekas Perdana Menteri itu diberikan pengampunan.

"Resolusi ini perlu dibuat melalui saluran yang beradab dan berlandaskan Perlembagaan.

"Kita bukan mendesak, tetapi menyampaikan permohonan dan rayuan kepada Agong," katanya ketika ditemui semasa sesi Dialog Awam Veteran UMNO Selangor pada Isnin.

Menurut Ahmad Maslan, Perhimpunan Agung UMNO adalah platform tertinggi parti dan sebarang resolusi yang diluluskan membawa mandat jelas daripada ahli-ahli akar umbi.

"Apabila Perhimpunan Agung membuat resolusi, ia adalah suara rasmi parti dan wajar disampaikan oleh Presiden sendiri," jelas beliau.

Mengulas sentimen akar umbi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib, Ahmad Maslan mengakui wujud kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan ahli susulan perkembangan terkini kes itu, namun menegaskan emosi tidak boleh mengatasi pertimbangan rasional.

"Kalau ikut emosi memang kita marah, tetapi emosi tidak membawa ke mana, sebaliknya kena lihat implikasi keputusan politik ini kepada kerajaan pusat dan negeri seperti Pahang, Perak dan Negeri Sembilan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan, UMNO akan terus memperjuangkan pembebasan Najib, namun pada masa sama parti perlu menjaga kestabilan politik negara.

"Sebab itu saya sebut angka supaya rasional mengatasi emosi," jelas beliau.

Sebelum ini, wujud desakan dalam kalangan ketua-ketua bahagian UMNO supaya parti menilai semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan Najib menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang.

Ahmad Maslan berkata, UMNO akan terus bergerak mengikut lunas undang-undang dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan dalam menyuarakan pendirian parti.

Mahkamah Tinggi pada Isnin menolak permohonan semakan kehakiman Najib bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah, berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ringkasan AI

  • UMNO dicadang mengangkat resolusi rasmi parti berhubung pembebasan bekas PM Najib Tun Razak untuk disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong
  • Resolusi mencerminkan pandangan ahli-ahli UMNO dan akan diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO
  • Penyampaian resolusi bertujuan menzahirkan keprihatinan dan rayuan ahli akar umbi UMNO untuk pengampunan Najib
  • Perhimpunan Agung UMNO adalah platform tertinggi parti dan resolusi yang diluluskan membawa mandat daripada ahli-ahli akar umbi
  • UMNO akan terus memperjuangkan pembebasan Najib sambil menjaga kestabilan politik negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!