Ustaz 'hempuk' pelajar guna topi keledar didakwa 13 pertuduhan

Laporan Sinar Harian sebelum ini susulan penularan satu rakaman video yang memaparkan perbuatan kekerasan terhadap pelajar.
Laporan Sinar Harian sebelum ini susulan penularan satu rakaman video yang memaparkan perbuatan kekerasan terhadap pelajar.
A
A
A

KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Tenaga pengajar yang tular di media sosial memukul pelajar madrasah dengan menggunakan topi keledar dalam satu kejadian di sebuah premis, di Telipok didakwa atas 13 pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kes tersebut telah selesai disiasat dan dibawa kepada pihak pendakwaan.

"Kes yang tercetus susulan penularan satu rakaman video pada 14 Disember lalu yang memaparkan perbuatan kekerasan terhadap pelajar. 

"Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis telah menjalankan siasatan terperinci serta membuat tangkapan ke atas suspek yang juga merupakan pengelola atau tenaga pengajar madrasah berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Kasim berkata, kertas siasatan kes telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Disember lalu.

"Hasil arahan yang diterima, suspek akan dituduh di mahkamah pada 22 Disember (hari ini) di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan 13 pertuduhan berasingan berkaitan kesalahan menyebabkan kecederaan," katanya dalam kenyataan.

Kasim dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk kekerasan, khususnya melibatkan kanak-kanak.

"Sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Orang awam juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta menghormati proses perundangan dan privasi semua pihak terlibat, khususnya mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan menyiasat setiap kes secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang demi kepentingan keadilan serta ketenteraman awam.

Ringkasan AI

  • Tenaga pengajar madrasah di Telipok, Kota Kinabalu didakwa atas 13 pertuduhan kerana memukul pelajar dengan topi keledar
  • Kes disiasat selepas video kejadian yang berlaku pada 14 Disember tular di media sosial
  • Polis telah membuat tangkapan dan siasatan terperinci ke atas tenaga pengajar tersebut
  • Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan
  • Pihak polis memandang serius kekerasan, terutamanya terhadap kanak-kanak dan menjamin siasatan yang profesional serta telus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!