Strategi pembangunan ekonomi menyeluruh

TAHUN 2025 bakal berlabuh tidak lama lagi. Pelbagai onak dan duri dilalui oleh rakyat Malaysia sama ada mereka yang berniaga mahupun rakyat jelata.
Yang pasti, perekonomian tahun ini dilihat melebihi jangkaan meskipun ramai yang pesimistik tentang apa yang berlaku.
Mahu tidak mahu, data-data ekonomi perlu dihadam supaya telahan yang beremosi dapat diseimbangkan dengan fakta.
Aktiviti ekonomi yang diukur oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang sembilan bulan pertama tahun 2025 tumbuh pada kadar 4.7 peratus.
Prestasi ini dilihat menepati sasaran pertumbuhan yang diunjurkan oleh pihak kerajaaan iaitu antara 4.0 peratus sehingga 4.8 peratus.
Kadar pengangguran pula kekal rendah pada paras 3.0 peratus setakat bulan Oktober yang lalu berbanding 3.1 peratus pada bulan Disember tahun 2024.
Situasi ini bertepatan dengan jumlah yang menganggur yang terus merosot ke tahap 518,900 orang pada bulan Oktober berbanding 538,500 orang.
Angka ini rendah berbanding purata bagi tahun 2019 iaitu 570, 400 orang yang mana sebelum berlakunya wabak Covid-19 yang merebak ke serata dunia pada tahun 2020 sehingga 2022.
Ini bererti telah ramai yang bekerja dan menerima pendapatan.
Dari sudut pelaburan pula, pertumbuhan pelaburan kekal tinggi pada paras 9.7 peratus pada sembilan bulan pertama 2025. Ia dipacu oleh sektor swasta dan sektor awam yang mana masing-masing mencatatkan pertumbuhan 9.5 peratus dan 10.9 peratus.
Selain itu, jumlah pelaburan yang telah diluluskan juga melonjak 13.2 peratus pada sembilan bulan yang pertama 2025.
Sumber pertumbuhan pelaburan yang diluluskan banyak disumbang oleh pelaburan daripada pelaburan asing yang bertumbuh sebanyak 47.5 peratus.
Peningkatan pelaburan ini bererti pihak swasta sedang giat menaikkan kapasiti pengeluaran yang akan memberi kesan terhadap penggunaan teknologi serta penggunaan buruh berkemahiran tinggi.
Sekali gus, perkara ini akan meningkatkan tahap produktiviti negara. Data menunjukkan Nilai Ditambah Per Jam Bekerja bertumbuh pada kadar 3.8 peratus pada suku ketiga 2025 berbanding tempoh sebelumnya iaitu 3.4 peratus.
Pertumbuhan produktiviti ini juga adalah tertinggi semenjak suku ketiga tahun 2022. Tidak dinafikan bahawa mungkin ada yang berasa angka ini hanya bersifat luaran dan tidak menggambarkan situasi sebenar.
Tanggapan seperti itu walaupun dilihat sedikit berat sebelah namun ada juga kebenarannya. Terutamanya jika kita melihat dari sudut pandang pendapatan dan kuasa beli.
Sebagai contoh pendapatan median bulanan bagi pekerja formal adalah RM2,864 pada bulan Jun 2025.
Berdasarkan trend, angka ini ada turun naiknya kerana jika dibandingkan pada bulan Januari, angkanya adalah RM3,064.
Di samping itu, sekiranya pendapatan ini dilaraskan dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu kayu ukur bagi tingkat harga umum, pendapatan benar pada bulan Jun adalah RM2,129.37.
Perbezaan antara pendapatan median RM2,864 dan pendapatan benar RM2,129.37 adalah RM734.63 yang mana ia mewakili kehilangan kuasa beli akibat daripada peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
Jika kita ambil perbezaan pendapatan ini pada bulan Jun 2024, angkanya adalah RM681.09. Ini bererti kuasa beli rakyat boleh dikatakan secara umumnya merosot.
Oleh itu, strategi pembangunan ekonomi perlu bersifat menyeluruh dan bukan tertumpu untuk menggalakkan pertumbuhan tetapi pasaran ekonomi yang kompetitif dan adil.
Apabila keadaan ini dapat dicapai, maka tingkat harga barang akan lebih fleksibel. Dengan ini pertumbuhan ekonomi yang berterusan akan memastikan kuasa beli rakyat lebih terjamin tanpa terlalu bergantung kepada bantuan bayaran pindahan.
Ringkasan AI
- Tahun 2025 menunjukkan pertumbuhan ekonomi melebihi jangkaan dengan KDNK tumbuh 4.7 peratus dalam sembilan bulan pertama
- Kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus hingga Oktober, menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya
- Pertumbuhan pelaburan mencapai 9.7 peratus, didorong oleh sektor swasta dan awam dengan pelaburan asing meningkat 47.5 peratus
- Produktiviti negara meningkat dengan Nilai Ditambah Per Jam Bekerja naik 3.8 peratus pada suku ketiga 2025
- Pendapatan median bulanan menurun dan penyesuaian dengan IHP menunjukkan kehilangan kuasa beli, menekankan keperluan untuk strategi pembangunan ekonomi yang menyeluruh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


