Sukarelawan ditahan susulan penemuan objek mencurigakan di gereja

Seorang sukarelawan gereja ditahan selepas satu objek mencurigakan ditemukan di dalam kawasan Gereja St Joseph di Bukit Timah, Singapura pada pagi Ahad. Foto hiasan
Seorang sukarelawan gereja ditahan selepas satu objek mencurigakan ditemukan di dalam kawasan Gereja St Joseph di Bukit Timah, Singapura pada pagi Ahad. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang sukarelawan gereja berusia 26 tahun ditahan selepas satu objek mencurigakan ditemukan di dalam kawasan Gereja St Joseph di Bukit Timah, Singapura pada pagi Ahad.

Dalam satu kenyataan, Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan lelaki itu ditahan di bawah Peraturan 8(2)(a) Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Langkah-langkah Antikeganasan) kerana disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

Polis menerima panggilan untuk bantuan kira-kira jam 7.10 pagi berhubung penemuan objek mencurigakan di gereja yang terletak di 620 Upper Bukit Timah Road.

Sebaik tiba di lokasi, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa beliau menemukan objek mencurigakan di dalam longkang dalam kawasan gereja. Lelaki itu kekal berada di tempat kejadian sambil memegang objek berkenaan.

Polis mengawal kawasan kejadian manakala premis gereja dikosongkan demi keselamatan awam.

Kumpulan Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) turut diaktifkan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Selepas pemeriksaan menyeluruh, objek berkenaan yang menyerupai peranti bahan letupan buatan sendiri, dinilai pada kira-kira 10.40 pagi sebagai terdiri daripada tiga gulungan kadbod dan wayar yang dilekatkan dengan pita hitam, tanpa sebarang unsur letupan. Objek itu kemudiannya dikeluarkan dari lokasi oleh pihak polis,” menurut SPF.

Operasi polis selesai dijalankan dan sekatan di lokasi itu ditarik balik kira-kira 5.15 petang. Tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam berkata, polis bersama SAF telah mengesahkan bahawa objek mencurigakan berkenaan bukan bom.

Artikel Berkaitan:

"Seseorang telah cuba mewujudkan tanggapan bahawa ia adalah peranti letupan. Siasatan polis masih dijalankan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada November tahun lalu, paderi Gereja St Joseph, Father Christopher Lee, ditikam di bahagian mulut oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau semasa upacara misa di gereja berkenaan. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang sukarelawan gereja berusia 26 tahun ditahan di Gereja St Joseph, Bukit Timah, Singapura kerana menemukan objek mencurigakan
  • Lelaki itu ditahan di bawah Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan
  • Objek mencurigakan yang ditemukan itu merupakan tiga gulungan kadbod dan wayar yang dilekatkan dengan pita hitam, dinilai tidak mengandungi unsur letupan
  • Operasi polis dan Angkatan Bersenjata Singapura mengesahkan objek tersebut bukan bom dan sekatan di lokasi itu ditarik balik tanpa kecederaan dilaporkan
  • Siasatan polis masih dijalankan untuk menentukan motif di sebalik penemuan objek tersebut di gereja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!