'Tiada rusuhan ahli mahukan saya jadi Presiden, saya tak keluar Warisan'- Azis Jamman

Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku rusuhan semasa Perhimpunan Agung Tahunan parti itu yang berlangsung pada Sabtu.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya telah keluar daripada Warisan dan menyifatkan perkara tersebut sebagai fitnah yang jelas serta berniat mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

"Saya dengan ini menafikan secara menyeluruh, jelas dan tanpa sebarang keraguan setiap dakwaan yang tersebar dalam hantaran dan visual tular tersebut, khususnya perkara-perkara berikut:

"Dakwaan berlaku rusuhan di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan tidak benar. Tiada rusuhan seperti yang didakwa dan program berlangsung dalam keadaan terkawal serta sebarang gambaran kononnya berlaku kekecohan besar adalah diputar belit dan tidak berasas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kenyataan itu sebagai respons terhadap dakwaan yang tular di sebuah portal mengatakan berlaku rusuhan semasa perhimpunan berlangsung.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa dakwaan rusuhan dan debat panjang kononnya berpunca daripada ahli yang mendesaknya menjadi Presiden Warisan juga adalah tidak benar.

"Ia adalah palsu dan mengelirukan. Saya tidak pernah menghasut, mencetuskan atau terlibat dalam sebarang gerakan sedemikian. Dakwaan ini direka untuk mencetuskan persepsi perpecahan dalaman.

"Dakwaan berlaku debat panjang kerana Datuk Seri Mohd Shafie Apdal gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak benar.

"Tiada debat seperti yang digambarkan, apatah lagi dakwaan penilaian peribadi terhadap Presiden parti. Ini adalah naratif rekaan yang berniat jahat.

Artikel Berkaitan:

"Dakwaan saya telah keluar Warisan serta-merta hari ini fitnah jelas. Saya tidak keluar daripada Warisan, tidak membuat sebarang pengumuman sedemikian dan kekal dengan pendirian serta saluran parti yang sah," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, keseluruhan hantaran tersebut adalah maklumat palsu, berunsur fitnah dan berniat mencetuskan kekeliruan awam.

"Saya memandang serius cubaan mencemar reputasi dan kestabilan parti melalui naratif tidak bertanggungjawab ini.

"Saya menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai atau menyebarkan berita palsu," katanya.

Ringkasan AI

  • Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menafikan dakwaan berlaku rusuhan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan
  • Beliau juga menafikan telah keluar daripada Warisan dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah
  • Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai respons kepada tular berita tidak benar tentang rusuhan di perhimpunan
  • Azis menafikan dakwaan debat panjang dan rusuhan berpunca dari desakan ahli agar beliau menjadi Presiden Warisan
  • Seluruh hantaran yang menuduh beliau telah keluar dari Warisan dan berlakunya rusuhan dianggap sebagai maklumat palsu dan fitnah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!