MMA bimbang potongan BIW jejas penempatan doktor di Sabah, Sarawak

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sarawak menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak mengurangkan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada doktor kerajaan yang berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan, sebaliknya mengekalkan serta meningkatkan insentif berkenaan.
Pengerusinya, Dr Ong Eng Joe berkata, pihaknya menyokong penuh gesaan Presiden MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo agar pelaksanaan skim baharu seperti Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bersifat progresif dan bukannya regresif.
Menurutnya, skim berkenaan seharusnya meningkatkan BIW dan bukan mengurangkannya, seperti yang dihuraikan dalam kenyataan media MMA bertarikh 19 Disember 2025.
Selain itu, MMA Sarawak turut menggesa kerajaan supaya menyediakan elaun perpindahan kepada doktor kontrak yang melapor diri untuk bertugas di Malaysia Timur berikutan kos tinggi yang terlibat.
“Perpindahan dari Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur adalah lebih rumit dan mahal berbanding perpindahan dalam Semenanjung Malaysia kerana melibatkan kos tiket penerbangan serta perkhidmatan ejen penghantaran barangan yang mencecah ribuan ringgit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada 19 Disember lalu, MMA di bawah kepimpinan Dr Thirunavukarasu menyuarakan kebimbangan serius terhadap semakan BIW di bawah SSPA yang menyaksikan pengurangan elaun bagi pegawai perubatan lantikan baharu di Sabah, Sarawak dan Labuan sehingga 60 peratus, daripada RM960 kepada RM360 sebulan dalam beberapa kes.
MMA menegaskan BIW bertujuan mengiktiraf beban tambahan doktor di wilayah berkenaan yang berdepan kos sara hidup lebih tinggi, cabaran logistik, kekurangan tenaga kerja serta akses terhad kepada latihan dan kemajuan kerjaya, tanpa mengira lokasi penempatan bandar atau luar bandar.
Dr Thirunavukarasu berkata, pengurangan BIW ini dibimbangi memburukkan kekurangan tenaga kerja sedia ada, ketika Kementerian Kesihatan Malaysia berdepan isu pegawai perubatan gagal melapor diri di Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, kos untuk mengembalikan kadar asal BIW dianggarkan sekitar RM4.2 juta setahun, di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut, Dr Ong berkata, doktor muda yang berada pada skala gaji rendah dan mempunyai komitmen kewangan seperti pinjaman, tanggungan ibu bapa atau adik-beradik akan menanggung beban kewangan tambahan sekiranya terpaksa membiayai sendiri kos perpindahan berkenaan.
Beliau menegaskan, ketiadaan elaun perpindahan akan semakin melemahkan minat doktor dari Semenanjung Malaysia untuk menerima penempatan di Malaysia Timur, sekali gus menjejaskan kelestarian perkhidmatan kesihatan di wilayah itu.
Sehubungan itu, selaras dengan semangat Kerajaan Madani, MMA Sarawak menyeru supaya elaun-elaun kritikal ini disediakan dan ditingkatkan demi kebajikan doktor serta kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam.
Ringkasan AI
- Persatuan Perubatan Malaysia Cawangan Sarawak menuntut Bayaran Insentif Wilayah untuk doktor di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak dikurangkan
- MMA menyokong pelaksanaan skim baru yang progresif untuk meningkatkan BIW
- Menggesa kerajaan menyediakan elaun perpindahan kepada doktor kontrak di Malaysia Timur kerana kos yang tinggi
- Pengurangan BIW dibimbangi akan memperburuk kekurangan tenaga kerja di Sabah dan Sarawak
- MMA Sarawak menyeru agar elaun kritikal ini ditingkatkan demi kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

