Tentera Israel cabul kedaulatan Syria, ceroboh luar bandar Quneitra

ISTANBUL - Tentera Israel sekali lagi mencabuli kedaulatan Syria pada Sabtu dengan menceroboh masuk ke beberapa kampung di kawasan luar bandar Wilayah Quneitra di barat daya negara itu serta membina pos kawalan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Syria.
Saluran televisyen milik kerajaan, Al-Ikhbariya melaporkan bahawa tentera Israel menceroboh masuk ke Kampung Ain Ziwan menggunakan lima kenderaan tentera dan mendirikan pos kawalan sementara di kawasan berkenaan.
Tentera Israel turut memasuki Kampung al-Ajraf di tengah luar bandar Quneitra dengan empat kenderaan tentera dan membina pos kawalan bagi memeriksa pejalan kaki serta kenderaan yang lalu-lalang, lapor saluran itu lagi.
Menurut Agensi Berita Arab Syria (SANA), pencerobohan itu berlaku sehari selepas berpuluh-puluh rakyat Syria mengadakan protes di Bandar al-Salam dalam Wilayah Quneitra bagi mengutuk serangan berterusan Israel terhadap penduduk dan harta benda.
Walaupun Kerajaan Syria tidak memberikan ancaman ketenteraan secara langsung kepada Israel, serangan udara Israel terus menyasarkan wilayah Syria sehingga mengorbankan orang awam dan memusnahkan tapak ketenteraan, kenderaan, senjata serta peluru milik tentera Syria.
Damsyik dan Tel Aviv kini sedang mengadakan rundingan ke arah potensi perjanjian keselamatan, namun Syria meletakkan syarat supaya sebarang perjanjian mestilah mengembalikan keadaan di lapangan seperti sebelum 8 Disember 2024.
Israel telah menduduki sebahagian besar Bukit Golan milik Syria sejak 1967. Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada 8 Disember 2024, Israel mengisytiharkan terbatalnya Perjanjian Pengunduran Tentera 1974 dan bertindak menduduki zon penampan Syria.
Rakyat Syria menyifatkan pencerobohan berterusan oleh Israel ini menjejaskan usaha untuk memulihkan kestabilan serta menghalang rancangan kerajaan bagi menarik pelaburan dan memperbaiki keadaan ekonomi negara itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Tentera Israel mencabuli kedaulatan Syria dengan menceroboh masuk ke kampung-kampung di Wilayah Quneitra
- Israel mendirikan pos kawalan sementara di Kampung Ain Ziwan dan Kampung al-Ajraf
- Berlaku protes oleh rakyat Syria di Wilayah Quneitra mengutuk serangan Israel
- Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Syria, menyasarkan wilayah serta memusnahkan harta benda
- Damsyik dan Tel Aviv dalam rundingan untuk perjanjian keselamatan, Syria mahukan keadaan dikembalikan seperti sebelum 8 Disember 2024
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
