Malaysia terima sumbangan bekalan perubatan dari China

Hishammuddin (kiri) bersama Bai Tian (dua,kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Malaysia di Wisma Putra hari ini. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri). Foto: Bernama
Hishammuddin (kiri) bersama Bai Tian (dua,kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Malaysia di Wisma Putra hari ini. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri). Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hubungan dua hala yang kukuh telah mendorong China bersimpati dengan usaha kerajaan Malaysia membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) apabila negara menyumbang pelbagai bekalan perubatan.

Kerajaan China menyerahkan sebanyak 100,000 unit kit ujian n-Cov PCR, topeng muka N95 (100,000), topeng muka pembedahan (50,000), set peralatan perlindungan peribadi (50,000) dan 200 unit alat bantuan pernafasan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Wisma Putra, di sini hari ini.

Hishammuddin melahirkan penghargaan tertinggi atas sumbangan kerajaan China yang jelas mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara tersebut.

“Ini adalah sumbangan luar biasa oleh sebuah negara kepada Malaysia, mencerminkan persahabatan yang erat, perpaduan dan pertimbangan yang dikongsi bersama oleh Malaysia dan China.

"Sumbangan ini akan digunakan sepenuhnya dan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) untuk diagihkan kepada hospital bagi kegunaan petugas di barisan hadapan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bantuan bekalan perubatan tersebut.

Katanya, sebelum ini, Malaysia telah menerima sumbangan daripada pelbagai kerajaan wilayah di China, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti perniagaan dan individu dari negara itu.

Sementara itu, Bai Tian berkata, kerajaan China memberi perhatian khusus dan berjaya mengumpul bekalan perubatan yang amat diperlukan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hishammuddin melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan keperluan perubatan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan dan rakyat China tidak akan lupa bagaimana kerajaan Malaysia dan rakyatnya menghulurkan tangan dalam masa paling ‘gelap’ kami bergelut dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Di samping bekalan perubatan, Bai Tian juga berkata, China akan turut menawarkan sokongan pasukan pakar perubatan Covid-19 dari negara itu untuk bekerjasama dengan rakan mereka di negara ini.

Apabila ditanya bilangan pakar dari China akan datang ke sini, beliau berkata, ia bergantung kepada permintaan dari Malaysia.

“Kami ingin tahu keperluan di lapangan dan hospital di negara ini kerana kami mempunyai pakar dari pelbagai bidang seperti penyakit jangkitan, pernafasan dan pakar penjagaan unit rawatan rapi.

“Kami bersedia berkongsi amalan terbaik dan ilmu dalam memerangi wabak ini,” katanya. - Bernama