Musk menang rayuan, pakej gaji Tesla 2018 bernilai AS$139 bilion dikembalikan

Elon Musk
Elon Musk
A
A
A

DELAWARE - Mahkamah Agung Delaware pada Jumaat memutuskan untuk mengembalikan semula pakej gaji kontroversi Elon Musk dari tahun 2018, yang kini dianggarkan bernilai sekitar AS$139 bilion (RM567 billion), menurut laporan media antarabangsa.

Keputusan itu membatalkan penghakiman terdahulu oleh mahkamah rendah pada 2024 yang telah membatalkan pakej tersebut atas alasan ia “tidak masuk akal” dan memberi kelebihan luar biasa kepada Musk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tesla.

Panel lima hakim Mahkamah Agung menyifatkan pembatalan penuh itu sebagai “tidak adil” dan “tidak seimbang” terhadap sumbangan Musk selama enam tahun memimpin syarikat tersebut.

“Remedi pembatalan sepenuhnya menyebabkan Musk tidak menerima sebarang ganjaran atas masa dan usahanya,” menurut keputusan setebal 49 muka surat yang dikeluarkan mahkamah.

Pakej gaji itu, yang pada asalnya bernilai AS$56 bilion (RM228 billion), merupakan salah satu pelan pampasan terbesar dalam sejarah korporat.

Ia dikaitkan dengan pencapaian prestasi tertentu yang perlu dipenuhi oleh Tesla, termasuk peningkatan nilai pasaran dan sasaran kewangan yang ketat.

Keputusan Mahkamah Agung ini dilihat sebagai kemenangan besar buat Musk, yang sebelum ini mengecam keras keputusan mahkamah rendah dan menyifatkannya sebagai satu ancaman kepada iklim perniagaan mesra pelabur di Delaware, negeri yang menjadi tempat pendaftaran banyak syarikat gergasi Amerika Syarikat.

Penganalisis pasaran menjangkakan keputusan ini akan memberi kesan besar terhadap penyata kewangan Tesla, memandangkan pampasan Musk adalah dalam bentuk saham dan boleh mencetuskan perbelanjaan berbilion dolar dalam laporan kewangan syarikat.

Walaupun keputusan ini mengembalikan semula hak Musk terhadap pakej tersebut, ia juga dijangka mencetuskan perdebatan baharu mengenai keadilan dan ketelusan dalam pemberian ganjaran kepada eksekutif korporat, khususnya dalam syarikat tersenarai awam. - Awani

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Mahkamah Agung Delaware mengembalikan semula pakej gaji Elon Musk dari tahun 2018 bernilai sekitar AS$139 bilion
  • Keputusan itu membatalkan penghakiman terdahulu yang membatalkan pakej tersebut kerana dianggap "tidak masuk akal"
  • Panel lima hakim menyifatkan pembatalan penuh pakej sebagai "tidak adil" terhadap sumbangan Musk
  • Pakej gaji itu, dikaitkan dengan pencapaian prestasi Tesla, merupakan salah satu pelan pampasan terbesar dalam sejarah korporat
  • Keputusan ini dilihat sebagai kemenangan untuk Musk dan dijangka memberi kesan besar terhadap penyata kewangan Tesla

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!