Protes di Bangladesh berlarutan hari kedua, beberapa bangunan dibakar

DHAKA - Protes bagi membantah pembunuhan seorang aktivis politik terkemuka Bangladesh berterusan buat hari kedua pada Jumaat dengan penunjuk perasaan bertindak menyekat jalan raya serta membakar beberapa bangunan termasuk dua pejabat akhbar di ibu negara, Dhaka.
Menurut Agensi Anadolu (AA), protes tercetus sejurus selepas Sharif Osman Hadi, 32, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Singapura pada Khamis.
Penunjuk perasaan di Dhaka turut merosakkan rumah pengasas dan presiden pertama negara itu, Sheikh Mujibur Rahman.
Mereka menuntut keadilan atas kematian Hadi, yang mula dikenali susulan protes besar-besaran tahun lepas yang menamatkan pemerintahan 15 tahun Perdana Menteri Sheikh Hasina sehingga memaksanya melarikan diri ke India.
Hadi ditembak di bahagian kepala pada 12 Disember di Dhaka ketika dalam perjalanan pulang daripada kempen pilihan raya.
Pemimpin kerajaan sementara, Muhammad Yunus, mengisytiharkan hari berkabung pada Sabtu susulan kematian Hadi, selain menggesa rakyat agar bertenang dan menjaga keamanan.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan bertindak merosakkan pejabat akhbar harian nasional berbahasa Benggali, Prothom Alo dan akhbar berbahasa Inggeris, The Daily Star.
Anggota bomba kemudiannya berjaya memadamkan kebakaran, manakala anggota tentera, polis dan tokoh politik turut membantu menyelamatkan kakitangan akhbar berkenaan.
Susulan serangan itu, kedua-dua syarikat akhbar terbabit mengeluarkan notis berasingan mengumumkan penggantungan penerbitan mereka.
Yunus yang kemudiannya mengadakan pertemuan dengan editor-editor akhbar, menyifatkan insiden itu sebagai satu "serangan terhadap kebebasan media".
Beliau turut menyeru seluruh rakyat untuk "menentang segala bentuk keganasan kumpulan perusuh yang dilakukan oleh segelintir elemen ekstrem".
Pejabat beliau dalam satu kenyataan berkata: "Kami mengecam sekeras-kerasnya dan secara mutlak segala bentuk keganasan, ugutan, pembakaran sengaja dan pemusnahan harta benda."
Menurut laporan akhbar harian nasional Bangladesh, Jugantor yang diterbitkan pada Khamis, suspek penembak dan rakannya telah melarikan diri ke India. Bagaimanapun, Anadolu tidak dapat mengesahkan dakwaan akhbar berkenaan secara bebas.
Setakat ini, polis Bangladesh telah menahan 10 orang susulan serangan terhadap Hadi, namun pihak berkuasa masih belum mengesahkan secara rasmi lokasi persembunyian suspek-suspek terbabit. - Bernama
Ringkasan AI
- Protes membantah pembunuhan Sharif Osman Hadi di Bangladesh berterusan buat hari kedua
- Penunjuk perasaan menyekat jalan raya dan membakar bangunan termasuk dua pejabat akhbar
- Hadi, aktivis politik, disahkan meninggal di Singapura dan ditembak di kepala ketika dalam perjalanan dari kempen pilihan raya
- Pemimpin sementara, Muhammad Yunus, mengisytiharkan hari berkabung dan menggesa keamanan
- Penunjuk perasaan juga merosakkan rumah pengasas negara, Sheikh Mujibur Rahman, dan menuntut keadilan atas kematian Hadi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
