Sukan SEA: Malaysian Tigress rangkul emas kesembilan berturut-turut

SKUAD hoki wanita kebangsaan mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali kesembilan berturut-turut selepas membenam Indonesia 6-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, di sini, hari ini.
Skuad Malaysian Tigress tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelapan, sebelum Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad menggandakan kelebihan menerusi jaringan padang 11 minit kemudian.
Khairunnisa Ayuni sekali lagi mencatat nama selaku penjaring apabila menambah gol ketiga negara berbaki tiga minit sebelum tamat suku kedua.
Memasuki separuh masa kedua, jaringan padang Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-46 dan ke-49 terus melebarkan jurang kemenangan Malaysia, sebelum Hanis Nadiah Onn melengkapkan kemenangan bergaya negara dengan gol keenam pada minit ke-57.
Ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli menyifatkan kejayaan mempertahankan pingat emas buat kali kesembilan berturut-turut itu bukan sesuatu yang mudah dicapai.
"Alhamdulillah, kita berjaya mengekalkan pingat emas, namun ia bukan hasil kerja yang mudah. Banyak pasukan membuat persiapan rapi untuk menghadapi Sukan SEA kali ini.
"Saya tabik kepada para pemain kerana persekitaran di sini agak mencabar, namun mereka mampu menyesuaikan diri dengan cepat.
"Tiada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan saya dan kami berterima kasih kepada peminat hoki yang setia menunggu kejayaan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan. - Bernama
Ringkasan AI
- Skuad hoki wanita kebangsaan mempertahankan pingat emas Sukan SEA untuk kali kesembilan secara berturut-turut dengan menewaskan Indonesia 6-0
- Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin dan Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad antara yang menyumbang gol dalam perlawanan itu
- Nur Afiqah Syahzani Azhar dan Hanis Nadiah Onn turut menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan Malaysia
- Ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli menyatakan bahawa kejayaan ini bukan mudah dicapai disebabkan persiapan rapi lawan
- Mohd Nasihin Nubli turut meluahkan kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada pemain serta peminat hoki atas kejayaan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
