Menteri mohon maaf, rakyat kibar bendera putih di Aceh

ACEH - Beberapa lokasi di Aceh dilaporkan mengibarkan bendera putih sebagai simbol 'putus harapan dan keletihan' penduduk berikutan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda sejak akhir November lalu.
Keadaan itu mencerminkan tekanan terhadap komuniti yang menghadapi kekurangan bantuan, stok makanan terhad dan ancaman kelaparan.
Susulan itu Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, mewakili kerajaan pusat, menyatakan permohonan maaf dengan penuh kerendahan hati atas sebarang kekurangan dalam usaha menangani bencana di wilayah berkenaan.
Beliau menegaskan cabaran yang dihadapi amat besar termasuk medan yang sukar dan kesukaran logistik.

“Kami menghargai aspirasi rakyat yang mengibarkan bendera putih. Kerajaan mendengar, memahami kritikan serta pandangan masyarakat mengenai situasi bencana di Sumatera,” kata Tito dalam sidang media di Jakarta Timur, Jumaat.
Kerajaan menekankan komitmen untuk mempercepatkan bantuan kecemasan di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, dengan sokongan masyarakat melalui gotong-royong dan sumbangan sukarela.
Penduduk tempatan kini terpaksa membina dapur umum secara kendiri bagi menampung keperluan asas yang semakin terhad.
Tito menambah, kerajaan akan terus bekerja bersama rakyat dalam semangat perpaduan dan kemanusiaan untuk memulihkan keadaan dengan mendapatkan sokongan daripada masyarakat.
Bendera putih yang berkibar di jalan-jalan utama Aceh turut menjadi isyarat bahawa komuniti memerlukan perhatian segera dan sokongan berterusan daripada pihak berkuasa.
Kerajaan Indonesia berjanji bahawa pemulihan akan diteruskan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada kawasan paling terjejas, termasuk bekalan makanan, tempat tinggal dan bantuan perubatan. - Agensi
Ringkasan AI
- Beberapa lokasi di Aceh mengibarkan bendera putih sebagai simbol 'putus harapan dan keletihan' akibat bencana banjir dan tanah runtuh
- Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, meminta maaf atas kekurangan dalam usaha menangani bencana tersebut
- Kerajaan berkomitmen untuk mempercepatkan bantuan kecemasan di Aceh dan wilayah lain di Sumatera
- Penduduk tempatan terpaksa membina dapur umum bagi menampung keperluan asas
- Bendera putih yang berkibar menjadi isyarat komuniti memerlukan perhatian segera dan sokongan berterusan dari pihak berkuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

