Polis nafi keluarkan dokumen program pulang wang mangsa penipuan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan mengeluarkan dokumen yang ditandatangani mendakwa melantik Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sebagai entiti rasmi bagi program pemulangan wang mangsa penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah mengesan dokumen tular bertajuk 'Surat Pelantikan' yang dipercayai direka dan diedarkan bagi tujuan penipuan.
Menurutnya, dokumen itu didakwa ditandatangani oleh Pengarah JSJK.
"JSJK menafikan pernah mengeluarkan dokumen tersebut.
"Untuk makluman, program bantuan pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan ialah tidak wujud dan sebarang dakwaan mengenainya palsu serta mengelirukan orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, ditegaskan bahawa proses pemulangan wang kepada mangsa penipuan bukanlah satu bentuk program bantuan.
Sebaliknya jelas Rusdi, ia merupakan komitmen dan tanggungjawab PDRM yang dilaksanakan tertakluk kepada peruntukan undang-undang, hasil siasatan yang dijalankan serta keputusan pihak berkuasa berkaitan.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai, menyebarkan atau berurusan dengan mana-mana pihak yang menawarkan bantuan pemulangan wang atau meminta bayaran, maklumat peribadi, butiran perbankan atau dokumen pengenalan diri dengan menggunakan nama PDRM, JSJK atau mana-mana agensi kerajaan tanpa pengesahan rasmi.
"Masyarakat disarankan supaya sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi PDRM atau balai polis berhampiran serta segera melaporkan sebarang maklumat aktiviti mencurigakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Polis nafi melantik Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional sebagai entiti rasmi pemulangan wang mangsa penipuan
- Dokumen tular bertajuk 'Surat Pelantikan' dipercayai direka untuk penipuan
- Dokumen didakwa ditandatangani Pengarah JSJK adalah palsu
- Tiada program bantuan pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam dokumen palsu
- Orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai atau berurusan dengan pihak menawarkan bantuan pemulangan wang atas nama PDRM atau JSJK tanpa pengesahan rasmi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
