Banjir yang masih belum ditangani sepenuhnya

MAMPUKAH kejadian banjir dalam negara diselesaikan? Itu persoalan tahun demi tahun yang hendak dilontarkan Merak Jalanan tatkala melihat paparan berita bencana itu.
Bila dibelek paparan berita di akhbar mahupun secara online, ada penduduk yang menjadi mangsa meluahkan rasa terkilan dan kecewa apabila isu banjir ini masih gagal ditangani dengan baik biarpun berlaku hampir setiap tahun.
Di mana silapnya? Adakah disebabkan tangan manusia sendiri yang membinasakan bumi? Merak Jalanan melihat isu ini secara meluas dari pelbagai persepsi termasuklah pembangunan, pembukaan hutan dan masalah saliran longkang serta sungai.
Mungkinkah pembangunan yang amat pesat menjadikan longkang semakin sempit hingga gagal menampung hujan lebat atau adakah hutan yang dibinasakan manusia menyebabkan runtuhan tebing dan banjir lumpur.
Lebih malang apabila ada dakwaan mengatakan kegagalan menyiapkan Projek Rancangan Tebatan Banjir.
Merak Jalanan berpandangan isu ini perlu diambil serius kerana tragedi banjir boleh mengundang kes kematian.
Pihak berwajib perlu meneliti sebaiknya dari pelbagai aspek misalnya adakah sesuai bangunan dibina di situ, adakah terdapat masalah saliran longkang tersumbat dan bagaimana pengurusan pembukaan kawasan.
Hari ini bila berlaku hujan lebat sahaja, pasti banjir kilat berlaku, air bertakung dan sebagainya.
Ini yang perlu dibimbangi kerana kes banjir yang gagal ditangani akan memberi kesan negatif kepada negara. Sudah pasti imej buruk diterima.
Carilah sebaik-baik langkah untuk atasi. Setiap bencana sudah pasti akan melibatkan kekuatan sumber manusia yang ramai dan kos tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
