44 rumah setuju pembangunan jalan 2.5km di Kampung Indian Settlement - Amirudin

GOMBAK – Penduduk daripada 44 buah rumah di Kampung Indian Settlement yang perlu dikosongkan bersetuju secara asas dengan pembangunan utama melibatkan pembinaan jalan sepanjang 2.5 kilometer (km) bagi menambah baik kemudahan dan infrastruktur kawasan berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persetujuan itu dicapai hasil sesi libat urus yang dipengerusikannya minggu ini bersama penduduk kampung dan agensi terlibat, termasuk Pejabat Daerah Gombak.
Menurutnya, sesi tersebut diadakan bagi menjelaskan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan terbabit secara lebih tersusun, selain mendapatkan maklum balas penduduk sebelum sebarang usaha dimulakan.
“Proses libat urus ini penting supaya hasrat kerajaan negeri tidak diputarbelitkan sebagai isu perkauman atau penindasan terhadap mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Amirudin berkata, Kampung Indian Settlement perlu dibangunkan secara lebih teratur memandangkan sebahagian rumah penduduk didirikan di atas rizab jalan, selain wujud ketidakpadanan antara kedudukan rumah dengan lot tanah seperti yang tertera dalam geran bagi sebahagian daripada 123 lot yang dikenal pasti.
Katanya, jika keadaan itu dibiarkan tanpa intervensi, beberapa masalah akan terus timbul termasuk ketiadaan akses jalan yang mencukupi, kesukaran proses pindah milik tanah apabila dijual serta isu banjir berikutan ketiadaan penampan jalan dan sistem saliran asas.
“Secara asasnya, penduduk bersetuju dengan pembangunan utama ini, namun beberapa perkara perlu diselesaikan termasuk penyediaan sewaan sementara sepanjang tempoh pembinaan serta pembinaan semula rumah yang sepadan dengan pemilikan geran,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengusahakan bantuan kepada 44 keluarga terlibat bagi meringankan beban kos sewaan sepanjang tempoh pembinaan jalan, sistem saliran, perabot jalan serta pelaksanaan usaha tebatan banjir.
Menurut Amirudin, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak akan menyelaras keseluruhan pelaksanaan projek itu bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada penduduk, selain mengukuhkan kualiti infrastruktur di daerah Gombak.
Tambahnya, PDT Gombak turut mengadakan rundingan dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan semula rumah yang lebih selesa dengan kos serta mekanisme bayaran yang mampu ditanggung penduduk.
“Proses ini dijadualkan bermula bulan hadapan selepas perayaan Thaipusam bagi menghormati keperluan persiapan perayaan serta memberi tempoh mencukupi kepada penduduk,” katanya.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Indian Settlement bersetuju kosongkan rumah untuk pembinaan jalan 2.5 km
- Persetujuan dicapai menerusi libat urus yang dikelola oleh Menteri Besar Selangor dan agensi terlibat
- Pembangunan bertujuan atasi masalah akses jalan, proses pindah milik tanah, dan isu banjir
- Kerajaan negeri akan bantu 44 keluarga terlibat dengan kos sewaan sementara dan bina semula rumah
- Projek dijadwalkan bermula bulan depan selepas Thaipusam, dikoordinasikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

