Denmark perluas larangan pemakaian burqa dan niqab di sekolah, universiti

Pemakaian burqa akan dilarang di institusi pengajian di Denmark.-Agensi
Pemakaian burqa akan dilarang di institusi pengajian di Denmark.-Agensi
A
A
A

COPENHAGEN – Kerajaan Denmark pada Rabu mengumumkan cadangan untuk meluaskan larangan pemakaian penutup muka penuh, termasuk burqa dan niqab, ke institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti.

Menteri Imigresen dan Integrasi, Rasmus Stoklund berkata, pakaian yang menutup keseluruhan wajah tidak mempunyai tempat dalam persekitaran pembelajaran di Denmark.

“Burqa, niqab atau sebarang pakaian yang menutup wajah sepenuhnya tidak sesuai berada di dalam bilik darjah Denmark,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa Denmark sudah pun mempunyai undang-undang yang melarang penutup muka di ruang awam, dan larangan itu wajar turut dikuatkuasakan di institusi pendidikan.

Denmark pada Ogos 2018 melaksanakan larangan pemakaian penutup muka penuh di tempat awam, termasuk burqa dan niqab, dengan pesalah boleh dikenakan denda.

Cadangan terbaharu ini bagaimanapun terus mengundang kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan pertubuhan agama, yang menyifatkannya sebagai bersifat diskriminasi serta melanggar kebebasan beragama dan hak wanita untuk membuat pilihan sendiri.

Sebaliknya, penyokong dasar tersebut berpendapat larangan itu dapat membantu proses integrasi masyarakat Islam berlatarbelakangkan imigresen ke dalam masyarakat Denmark.

“Melalui rang undang-undang ini, kami menghantar mesej yang jelas, khususnya kepada gadis dan wanita daripada komuniti pendatang, bahawa kami menyokong mereka dalam menentang budaya kehormatan dan norma lapuk,” kata Stoklund.

Jurucakap Parti Liberal Denmark (Venstre), Hans Andersen, turut menyokong cadangan itu dengan menyatakan bahawa adalah tidak selaras dengan nilai Denmark apabila pelajar perempuan duduk sepenuhnya bertutup di dalam kelas sehingga guru tidak dapat melihat wajah mereka.

Artikel Berkaitan:

Rang undang-undang berkenaan dijadualkan dibentangkan di Parlimen Denmark pada Februari 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, Parlimen Austria pada 11 Disember lalu meluluskan undang-undang yang melarang pemakaian tudung di sekolah untuk kanak-kanak perempuan berusia bawah 14 tahun, sekali gus mencerminkan trend dasar serupa di beberapa negara Eropah.-Agensi

Ringkasan AI

  • Kerajaan Denmark cadang meluaskan larangan penutup muka termasuk burqa dan niqab ke institusi pendidikan
  • Menteri Imigresen dan Integrasi, Rasmus Stoklund, percaya pakaian yang menutup wajah tidak sesuai untuk persekitaran pembelajaran di Denmark
  • Denmark sudah melarang pemakaian penutup muka penuh di ruang awam sejak Ogos 2018
  • Cadangan baru ini dikritik kerana dianggap diskriminatif dan melanggar kebebasan beragama
  • Rang undang-undang ini dijadualkan dibentangkan di Parlimen Denmark pada Februari 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!