Bunuh adik ipar, buang mayat dalam terusan

UTTAR PRADESH - Polis menahan tiga lelaki pada Isnin kerana disyaki membunuh adik ipar mereka sebelum membuang mayat mangsa ke dalam terusan kering di daerah Kaushambi.
Dua daripada suspek memaklumkan kepada polis bahawa mangsa, Surendra Kumar, yang berkahwin dengan adik perempuan mereka, didakwa sering mengganggu dan mempersoalkan tingkah laku adiknya itu.
Tangkapan tersebut dibuat sehari selepas mayat mangsa ditemui di dalam terusan kering di tepi jalan berhampiran kampung Mavaiya dalam kawasan Sarai Akil.
Superintenden Polis, Rajesh Kumar berkata, suspek telah dikenal pasti sebagai Guddu dan Golu yang merupakan abang ipar mangsa serta sepupu mereka, Mahesh.
“Suspek memberitahu polis bahawa Surendra kerap mencurigai kesetiaan isterinya dan sering mengganggunya,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Ujar Kumar, mereka juga mendakwa bahawa mangsa telah berkongsi foto tidak senonoh isterinya kepada beberapa individu lain, yang menyebabkan mereka berasa marah dengan perbuatan tersebut.
Menurut pihak polis, Surendra dilaporkan melawat kampung tersebut pada 13 Disember lalu.
Sebaik mengetahui ketibaannya, suspek didakwa memanggil mangsa untuk bertemu di sebuah kebun di pinggir kampung.
Di sana, mereka memukul mangsa sehingga mati menggunakan kayu.
Selepas dibunuh, suspek memasukkan mayat ke dalam guni dan membuangnya ke dalam terusan.
Motosikal mangsa pula diletakkan agak jauh dari lokasi bagi mengelirukan pihak penyiasat.
Ketiga-tiga suspek ditahan berhampiran sungai Kilanhai dalam kawasan Sarai Akil hasil siasatan melalui rakaman litar tertutup (CCTV) dan input pengawasan.
Kumar menyatakan bahawa kes itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 12 jam selepas mayat ditemui.
Beliau turut mengumumkan ganjaran tunai sebanyak Rs25,000 buat pasukan polis yang terlibat dalam operasi berkenaan.
Ringkasan AI
- Polis menahan tiga lelaki kerana membunuh adik ipar dan membuang mayatnya dalam terusan kering
- Suspek melaporkan mangsa sering mengganggu dan mempersoalkan kesetiaan isterinya
- Mayat Surendra Kumar ditemui dalam terusan kering di tepi jalan berhampiran kampung Mavaiya
- Ketiga-tiga suspek, dua abang ipar dan sepupu mangsa, ditangkap berhampiran sungai Kilanhai
- Kes diselesaikan dalam 12 jam, polis yang menyelesaikan kes diberi ganjaran tunai Rs25,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

