Anwar tegur pandangan pertikai bantuan Malaysia kepada Gaza

Anwar menjawab soalan yang diutarakan pengamal media pada Majlis Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa (Imbasan 2025) di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu. Foto Bernama
Anwar menjawab soalan yang diutarakan pengamal media pada Majlis Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa (Imbasan 2025) di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pandangan sesetengah pihak yang mempertikaikan bantuan Malaysia kepada Gaza dengan menyifatkan kritikan seumpama itu bersifat tiada nilai kemanusiaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam tempoh dua hingga tiga tahun, Malaysia menyalurkan kira-kira RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan di Gaza walaupun inisiatif perdamaian dilaksanakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beliau berkata, bantuan itu disalurkan atas dasar kemanusiaan kerana pelanggaran berterusan rejim Israel terhadap perjanjian gencatan senjata dan jenayah terhadap penduduk Palestin.

"Pelanggaran berterusan, ratusan pelanggaran perjanjian dilakukan oleh rejim Israel. Anak kecil, wanita masih terus dibunuh… kebanyakan masjid dan juga gereja dimusnahkan,” kata beliau pada Taklimat Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj.

Taklimat itu turut disertai 92 wakil media tempatan dan antarabangsa.

Anwar menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus mendukung Gaza bukan sahaja menerusi penyaluran bantuan kemanusiaan tetapi juga suara politik bagi mempertahankan hak rakyat Palestin.

Beliau berkata, dalam perbincangan dengan Trump semasa menaiki kenderaan rasmi Cadillac One 'The Beast' bersama pemimpin dunia itu pada akhir Oktober lepas, beliau telah menekankan secara sopan dan penuh hormat tentang alasan di sebalik sokongan Malaysia terhadap hak Gaza dan Palestin serta kepentingan kemanusiaan.

"Saya beritahu (Trump) mengapa saya memilih untuk pertahankan hak Gaza serta Palestin dan mengapa kita (Malaysia) sangat konsisten mendukung.

Artikel Berkaitan:

"Tak ada pula beliau (Trump) marah, tetapi masih kedengaran suara-suara begini dan saya minta maaf kerana saya kurang mengerti, apalagi kalau orang itu bercakap soal agama, soal kemanusiaan tetapi tidak ada ihsan dan perikemanusiaan," kata beliau.

Anwar berkata, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi sendiri telah mengundang beliau menghadiri Sidang Pemulihan dan Pembangunan Semula Gaza di Mesir, namun sidang itu masih tertangguh kerana pada akhir tahun sukar mendapatkan korum bagi pemimpin dunia Arab dan dunia Islam. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pandangan yang mempertikaikan bantuan Malaysia kepada Gaza
  • Dalam dua hingga tiga tahun Malaysia menyalurkan kira-kira RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan di Gaza
  • Bantuan atas dasar kemanusiaan kerana pelanggaran berterusan rejim Israel terhadap Palestin
  • Anwar menzahirkan komitmen Malaysia mendukung Gaza secara bantuan kemanusiaan dan suara politik
  • Anwar menyatakan sokongan kepada hak Gaza dan Palestin serta kepentingan kemanusiaan dalam perbincangan dengan Presiden Amerika Donald Trump

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!