Miki Ghazali sumbang emas 57kg Muay Thai

PETARUNG muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar menghadiahkan pingat emas acara Muay Thai lelaki 57 kilogram (kg) kepada Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 selepas menewaskan wakil tuan rumah, Suphakon Sirilun pada aksi final di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok pada Rabu.
Beraksi dalam penampilan sulung di temasya dwitahunan itu, Miki mempamerkan ketenangan dan disiplin tinggi meskipun berdepan lawan yang mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah.
Pusingan pertama menyaksikan atlet berusia 16 tahun itu mengawal perlawanan dengan kemas untuk mendahului 10-9, sebelum Suphakon meningkatkan tekanan menerusi aksi agresif pada pusingan kedua.
Bagaimanapun, keupayaan Miki membaca pergerakan lawan dan mengekalkan konsistensi serangan membolehkannya sekali lagi meraih kelebihan 10-9 di pusingan kedua.
Di pusingan ketiga, kedua-dua atlet mempamerkan aksi agresif tetapi kemenangan akhirnya berpihak kepada Miki.
Kemenangan itu mengesahkan kemenangan pingat emas buat kem negara.
Terdahulu, emas pertama negara dalam Muay Thai diperolehi menerusi Wassof Rujiman yang menewaskan wakil tuan rumah, Thongchai Huanak dalam kategori 54kg.
Ringkasan AI
- Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar memenangi pingat emas Muay Thai 57kg di Sukan SEA Thailand 2025
- Berdepan dengan wakil tuan rumah dan mendapat sokongan padu penyokong
- Mengawal perlawanan dari pusingan pertama dan mengalahkan Suphakon Sirilun
- Konsistensi serangan Miki membawanya mengatasi lawan di setiap pusingan
- Emas kedua untuk Malaysia dalam acara Muay Thai setelah kejayaan Wassof Rujiman di kategori 54kg
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

