Kes dua remaja tunggang basikal lajak secara berbahaya diklasifikasi NFA

SUBANG JAYA - Kes membabitkan dua remaja yang didakwa menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, 4 Disember lalu, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
"Kes diklasifikasikan sebagai NFA kerana kedua-dua remaja terbabit masih di bawah umur.
"Selain itu kejadian itu juga tidak mengakibatkan sebarang kecederaan serta tiada saksi bebas yang boleh mengesahkan insiden berkenaan," katanya pada Rabu.
Wan Azlan Wan Mamat bagaimanapun berkata, pihaknya telah memberi nasihat serta amaran kepada remaja terbabit agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
"Ibu bapa juga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap pergerakan dan aktiviti sosial anak-anak, khususnya melibatkan risiko keselamatan.
"Ibu bapa disaran mendapatkan bantuan dan nasihat pihak berkuasa sekiranya berdepan kesukaran mengawal tingkah laku anak-anak," katanya.
Tambah beliau, tindakan terhadap ibu bapa juga boleh diambil sekiranya wujud unsur pengabaian dan kesalahan dilakukan oleh kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Sebelum ini, media melaporkan dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan selepas satu video tular di media sosial memaparkan mereka menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir melanggar sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
Kedua-dua remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 6 Disember lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan keesokan harinya selepas keterangan mereka diambil.
Ringkasan AI
- Kes dua remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya tidak diambil tindakan lanjut kerana masih di bawah umur
- Kejadian tidak mengakibatkan kecederaan dan tiada saksi bebas mengesahkan insiden
- Remaja terbabit telah diberi nasihat dan amaran oleh pihak polis
- Ibu bapa dinasihatkan peka terhadap aktiviti anak-anak dan mendapatkan nasihat pihak berkuasa jika perlu
- Tindakan boleh diambil terhadap ibu bapa atas unsur pengabaian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

