Calon SPM maut dirempuh kereta disyaki langgar lampu merah, pekerja IT direman

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja teknologi maklumat (IT) direman empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di persimpangan isyarat Melor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 33 tahun itu dilakukan pada Rabu jam 10 pagi.
“Saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan itu boleh tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau menghubungi talian 09-7752315 bagi membantu siasatan.
Mohd Rosdi memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Saga FL yang dipandu suspek datang dari arah Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu.

Kata beliau, setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis SM Sport yang ditunggang remaja lelaki berkenaan baru sahaja memulakan perjalanan dari arah Gunung menghala ke Kota Bharu selepas lampu isyarat di laluannya bertukar hijau.
“Pemandu kereta itu dipercayai memandu laju dan telah melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal tersebut.
“Kereta tersebut turut dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia lewat 40-an sebelum terbabas dan terbalik ke pembahagi jalan,” katanya.
Menurut Mohd Rosdi, pelanggaran itu menyebabkan remaja berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar USM, Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

