Beruang jantan 60kg berkeliaran kawasan kampung masuk perangkap

KUALA KRAI - Kebimbangan penduduk di Kampung Tengah di sini susulan kemunculan seekor beruang jantan yang berkeliaran berhampiran kediaman mereka berakhir apabila haiwan liar itu berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Kuala Krai pada Selasa.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran beruang seberat 60 kilogram itu pada 24 November lalu selepas haiwan liar tersebut dipercayai berpotensi mengancam keselamatan penduduk setempat.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati aduan tersebut berasas dan kakitangan Perhilitan Daerah Kuala Krai telah memasang perangkap di kawasan terbabit pada hari yang sama.
“Pada Selasa, seekor beruang jantan berjaya ditangkap di Kampung Tengah.
“Hasil pemerhatian awal mendapati keadaan beruang tersebut stabil dan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau memberitahu, hutan simpan kekal terdekat dengan lokasi tangkapan ialah Hutan Simpan Kekal Sungai Durian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kawasan penempatan penduduk.
Sehubungan itu, katanya, kerja-kerja pemindahan telah dilaksanakan pada hari yang sama dan beruang berkenaan dilepaskan semula ke habitat lebih selamat iaitu di Taman Negara Kelantan.
Dalam pada itu, Mohamad Hafid menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terserempak atau mengesan kehadiran hidupan liar berhampiran kawasan kediaman bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan penduduk dan haiwan terpelihara.
Ringkasan AI
- Beruang jantan yang berkeliaran berhampiran kediaman penduduk di Kampung Tengah ditangkap oleh Perhilitan Daerah Kuala Krai
- Pihak Perhilitan menerima aduan pada 24 November mengenai kehadiran beruang itu yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk
- Perangkap telah dipasang di kawasan tersebut pada hari yang sama aduan diterima
- Beruang tersebut ditangkap tanpa mengalami kecederaan serius dan keadaannya stabil
- Beruang dilepaskan kembali ke habitat lebih selamat di Taman Negara Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

