4.9 juta saman JPJ tertunggak hampir RM1.4 bilion

KUALA LUMPUR - Sebanyak 4.891 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih belum diselesaikan oleh orang awam dengan jumlah tunggakan hampir mencecah RM1.4 bilion.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tempoh diskaun 50 peratus saman JPJ bermula 1 November lalu akan berakhir pada 30 Disember ini.
“Setakat ini, hanya 520,000 saman telah diselesaikan dengan jumlah bayaran kira-kira RM70 juta. Orang awam masih mempunyai kira-kira 14 hari untuk memanfaatkan diskaun saman JPJ sebanyak 50 peratus.
"Kita ada lagi saman tertunggak sebanyak 4.891 juta yang belum diselesaikan oleh orang awam dengan jumlah tunggakan hampir 1.4 bilion," pada sidang akhbar Ops Luxury 4.0 di Depoh Sitaan JPJ Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Aedy Fadly berkata, kebanyakan saman tertunggak itu melibatkan pesalah yang aktif.
“Kita mendapati ada saman tertunggak lebih daripada 10 tahun dan belum diselesaikan.
“Semakan boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ, portal JPJ atau hadir terus ke kaunter JPJ untuk mendapatkan maklumat saman tertunggak,” katanya.
Beliau berkata, saman JPJ layak menerima diskaun 50 peratus dengan membabitkan semua jenis kesalahan.
“Jika saman asal RM300, orang ramai hanya perlu bayar RM150," katanya.
Beliau berkata, mulai 1 Januari 2026, tiada lagi diskaun saman JPJ akan diberikan.
“Kadar saman akan kembali kepada kadar asal dan tiada lanjutan tempoh akan diberikan,” katanya.
Aedy Fadly berkata, diskaun itu diberikan sebagai peluang terakhir sebelum pelaksanaan struktur bayaran saman mengikut tempoh seperti ditetapkan kerajaan.
“Kita tidak menetapkan sasaran, tetapi masih ramai yang belum menyelesaikan saman walaupun peluang diskaun telah diberikan,” katanya.
Beliau berkata, saman yang tidak diselesaikan boleh mengakibatkan tindakan lebih tegas pada masa akan datang.
“Saya menyeru orang awam supaya tidak menunggu saat akhir dan segera menyelesaikan saman tertunggak sebelum 30 Disember ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Sebanyak 4.891 juta saman JPJ masih belum diselesaikan menjelang akhir tempoh diskaun 50 peratus pada 30 Disember
- Hanya 520,000 saman telah diselesaikan dengan jumlah bayaran kira-kira RM70 juta
- Diskaun 50 peratus saman JPJ melibatkan semua jenis kesalahan
- Mulai 1 Januari 2026, tiada lagi diskaun saman JPJ akan diberikan
- Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menyeru orang awam supaya tidak menunggu saat akhir dan segera menyelesaikan saman tertunggak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
