Kabinet baharu: Dua menteri, seorang timbalan menteri digugurkan

Anwar berucap pada sidang media khas Pengumuman Anggota Kabinet Baharu Kerajaan Madani di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto Bernama
Anwar berucap pada sidang media khas Pengumuman Anggota Kabinet Baharu Kerajaan Madani di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar digugurkan dari barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi pengumuman sebentar tadi, Anwar mengumumkan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh menggantikan Dr Zaliha manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hassan dinaikkan menjadi menteri penuh menggantikan Mohd Na'im.

Selain itu, turut digugurkan Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy yang kedudukannya diganti oleh R Yuneswaran.

"Saya juga ingin berikan kesempatan ini untuk mengajak penghargaan kepada rakan-rakan menteri dan timbalan menteri yang telah menyumbangkan tenaga bakti melalui kementerian dan kepada negara sebelum ini," kata Anwar pada Selasa.

Ujar beliau, kerajaan perlu melakukan sedikit penyesuaian susulan beberapa kekosongan dalam Kabinet dan sekali gus memberi tumpuan bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan masalah rakyat.

"Seperti mana sudah sedia maklum, ada beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri dan ada keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian supaya Kabinet bekerja sebagai satu pasukan," jelas Anwar.

Rombakan Kabinet kali ini merupakan kali kedua dilakukan Perdana Menteri selepas kali pertama dilakukan pada 12 Disember 2023 yang ketika kepimpinan Anwar melangkaui usia setahun.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa digugurkan dari Kabinet
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar juga digugurkan
  • Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy turut digugurkan
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan Kabinet baharu
  • Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada menteri dan timbalan menteri yang telah berbakti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!