'Ini bukan bencana biasa, benarkan dunia bantu Aceh'

Keadaan masjid dan sekolah asrama di kawasan terjejas banjir di Karang Baru, Aceh Tamiang. Foto Reuters.Gambar kecil: Rusyidi Muktar.-Agensi
Keadaan masjid dan sekolah asrama di kawasan terjejas banjir di Karang Baru, Aceh Tamiang. Foto Reuters.Gambar kecil: Rusyidi Muktar.-Agensi
A
A
A

BANDA ACEH – Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Aceh (DPRA) merangkap Timbalan Pengerusi Suruhanjaya I, Rusyidi Muktar atau lebih dikenali sebagai Ceulangiek, menggesa Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, supaya membuka akses bantuan antarabangsa bagi membantu Aceh yang kini dilanda krisis kemanusiaan susulan bencana banjir besar dan tanah runtuh.

Beliau berkata, hampir keseluruhan wilayah Aceh terjejas dengan skala kemusnahan yang disifatkan amat serius dan luar biasa.

“Sebanyak 23 daerah dan bandar di Aceh terkesan. Ini bukan bencana biasa, sebaliknya satu bencana besar yang memusnahkan kehidupan rakyat.

"Ramai kehilangan tempat tinggal, laluan utama terputus dan kegiatan ekonomi lumpuh sepenuhnya. Kerajaan pusat tidak boleh terus berdiam diri. Kami mendesak Presiden bertindak segera serta memberi kebenaran kepada negara sahabat untuk membantu Aceh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Ceulangiek, usaha pengurusan bencana setakat ini masih belum sepadan dengan tahap kemusnahan dan penderitaan yang dialami rakyat Aceh.

“Aceh sedang merintih. Ini bukan masa untuk mesyuarat tanpa tindakan. Jika kerajaan pusat tidak menunjukkan keprihatinan, rakyat Aceh berhak mempertikaikan semula komitmen kebangsaan yang selama ini kami junjung,” katanya dengan nada tegas.

Beliau turut memberi amaran bahawa pengabaian berterusan terhadap nasib rakyat Aceh boleh mencetuskan sentimen yang lebih serius.

“Kami tidak mahu konflik, namun jika keadaan ini terus dibiarkan, kami bersedia berdiri sendiri. Kami mahu Aceh diuruskan dengan serius, penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab.

"Benarkan dunia membantu Aceh, kerana ini bukan sekadar bencana alam, sebaliknya satu ujian kemanusiaan,” katanya.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Aceh Rusyidi Muktar menggesa Presiden Indonesia membuka akses bantuan antarabangsa untuk Aceh yang dilanda bencana banjir dan tanah runtuh
  • Hampir keseluruhan wilayah Aceh terjejas, disifatkan sebagai kemusnahan serius dan luar biasa
  • Sebanyak 23 daerah dan bandar di Aceh terkesan, menyebabkan kehilangan tempat tinggal, terputusnya laluan utama dan lumpuhnya kegiatan ekonomi
  • Usaha pengurusan bencana setakat ini belum sepadan dengan tahap kemusnahan dan penderitaan yang dialami
  • Rusyidi Muktar memberi amaran pengabaian terhadap nasib rakyat Aceh boleh mencetuskan konflik dan sentimen serius

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!