Tubuh pasukan khas, siasatan menyeluruh insiden tembakan Durian Tunggal

PUTRAJAYA – Pasukan siasatan khas yang dibentuk Bukit Aman bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan setiap keterangan dan penemuan insiden tiga lelaki ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu.
Tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, siasatan itu termasuklah melibatkan anggota polis yang menjalankan operasi berkenaan.
Menurutnya, keluarga mangsa sudah mendapatkan khidmat peguam dan mendakwa wujud rakaman audio tertentu, namun semua bahan itu akan diserahkan kepada pasukan penyiasat untuk dinilai mengikut proses tetap.

"Semua itu dibawa ke dalam siasatan termasuk pasukan polis terlibat dalam operasi itu, semuanya akan diambil.
“Itu ruang lingkup jawatankuasa siasatan khas seperti diumumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar. Saya tidak ‘jump the gun',” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Jumaat.
Saifuddin berkata, pasukan siasatan khas bertindak mengikut tertib dan prosedur kerja tersusun dalam meneliti insiden berkenaan.
"Mereka ada tertib dari segi proses kerja untuk mengambil keterangan dan mengikut prosedur polis.
“Kalau ada yang terlibat, itu berdasarkan keterangan dan penemuan pasukan khas. Di bawah pasukan polis ada pelbagai prosedur, ‘standing order IGP’, bermacam peraturan," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan, tidak akan mencampuri gerak kerja siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan khas yang dibentuk.
“Bila jawatankuasa itu berfungsi, bila mereka ambil keterangan, mereka akan tentukan hala tuju siasatan.
"Sebagai menteri, tidak kena kalau saya klasifikasikan siasatan di bawah mana-mana seksyen kerana itu memasuki bidang kuasa siasatan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan tiga penjenayah kes samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, awal pagi 24 November lalu.
Ringkasan AI
- Pasukan siasatan khas Bukit Aman menyiasat insiden tiga lelaki ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka
- Siasatan melibatkan anggota polis yang menjalankan operasi
- Keluarga mangsa mendapat khidmat peguam dan mendakwa wujud rakaman audio
- Pasukan siasatan khas mengikuti prosedur kerja dan tertib polis yang tersusun
- Menteri Dalam Negeri tidak mencampuri proses siasatan dan menyerahkannya kepada pasukan yang bertugas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

