Pendekatan ‘game changer’ atasi sekolah padat - Fadhlina

Fadhlina (tengah) hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada Ahad.
Fadhlina (tengah) hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada Ahad.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pendekatan pembinaan infrastruktur baharu yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) disifatkan sebagai ‘game changer’ dalam usaha menangani isu sekolah dan kelas padat di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek berkenaan mula dilaksanakan pada Mei 2025 dan kebanyakannya telah siap sepenuhnya dalam tempoh hanya beberapa bulan.

Menurut beliau, sebanyak 20 sekolah menggunakan konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan di sekolah menerusi inisiatif bersama kementerian dan JKR.

“Sebenarnya di peringkat KPM dan JKR, kita sudah mula pada Mei 2025 dan kebanyakannya telah pun siap 100 peratus. Ia menjadi antara reformasi penting KPM dalam aspek pembangunan serta infrastruktur pendidikan negara.

“Alhamdulillah, ini antara pendekatan dan reformasi penting yang sedang berlaku di peringkat KPM.

“Ia adalah satu pembinaan yang memberikan kesan langsung dan bagi saya merupakan satu ‘game changer’ dalam soal infrastruktur,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah di sini pada Ahad.

Tambah beliau, projek tersebut melibatkan 127 pembinaan di seluruh negara dengan 70 daripadanya tertumpu di Selangor, negeri yang berdepan isu kepadatan sekolah paling ketara.

“Tempoh pembinaan yang singkat membuktikan pendekatan tersebut berkesan dan praktikal untuk dilaksanakan secara meluas.

“Hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja untuk disiapkan dan ini menunjukkan pendekatan ini antara yang paling efektif setakat ini bagi mengatasi isu sekolah padat dan kelas padat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, KPM merancang untuk melaksanakan projek sama secara lebih besar-besaran pada tahun hadapan selain memastikan penggunaan kelas berkenaan sepenuhnya bermula pada sesi persekolahan baharu.

“Insya-ALLAH, tahun hadapan kita akan melaksanakannya secara besar-besaran dan melihat secara keseluruhan kelas ini digunakan sepenuhnya sempena pembukaan sekolah baharu,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pendekatan infrastruktur baharu oleh KPM dan JKR untuk atasi sekolah padat dianggap sebagai 'game changer'
  • Projek infrastruktur yang mula pada Mei 2025 dan kebanyakannya telah siap sepenuhnya dalam beberapa bulan
  • Sebanyak 20 sekolah menggunakan konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk mengatasi masalah kesesakan
  • Projek tersebut melibatkan 127 pembinaan di seluruh negara dengan fokus utama di Selangor
  • KPM merancang melaksanakan lebih banyak projek serupa pada tahun hadapan dan kelas baru akan digunakan sepenuhnya pada pembukaan sekolah baharu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!