Ihsanku, MAPIM bersolidariti bantu anak yatim serantau, Gaza

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ihsanku Malaysia (Ihsanku) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengumumkan pelancaran Program Iftar Seribu Anak Yatim Nusantara Bersama Gaza, iaitu satu inisiatif kemanusiaan yang menghimpunkan anak yatim dari seluruh nusantara dalam majlis berbuka puasa serentak sebagai tanda solidariti dan kepedulian bersama.
Program ini memberi fokus kepada kebajikan anak-anak yatim serta mengetengahkan isu kemanusiaan yang dihadapi oleh anak yatim di Gaza, di samping memperkukuh hubungan serantau melalui pendekatan kebersamaan dan keprihatinan.
Pelancaran program ini membawa tiga objektif utama; iaitu mengangkat isu anak yatim ke perhatian masyarakat, dengan meningkatkan kesedaran berhubung keperluan sokongan jangka panjang terhadap golongan tersebut.
Selain itu kerjasama berkenaan bertujuan untuk mewujudkan kebersamaan negara-negara nusantara dalam menangani cabaran berkaitan anak yatim serta isu kemanusiaan lain yang memerlukan kerjasama serantau.
Di samping itu juga, ia sebagai menunjukkan solidariti anak-anak yatim nusantara terhadap anak yatim di Gaza, tanda empati, kasih sayang dan kesatuan hati.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ihsanku, Muhammad Syariffuddin Supeni, selain daripada Ihsanku dan MAPIM kerjasama ini juga melibatkan beberapa gabungan NGO di Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Filipina yang sepakat bahawa usaha membantu anak yatim perlu merangkumi aspek kebajikan, sokongan emosi, pendidikan, dan pembinaan komuniti yang berterusan agar mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan masyarakat.

“Program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa. Ia adalah simbol penyatuan hati anak-anak kita di Nusantara dengan anak-anak di Gaza yang sedang berdepan kesengsaraan. Kami berharap usaha ini menjadi pencetus kepada lebih banyak kerjasama kemanusiaan di rantau ini,” ujarnya.
Majlis iftar ini dijangka diadakan pada 28 Februari 2026 yang akan menghimpunkan lebih 1,000 anak yatim dari pelbagai negara di nusantara dan akan dilaksanakan secara serentak di lima negara; Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Filipina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
