Pelukis maut, kondominium terbakar : Polis selaraskan siasatan bersama bomba

KUALA LUMPUR - Polis menyelaraskan siasatan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan kes kebakaran sebuah unit kondominium di tingkat 26 yang mengorbankan seorang pelukis di Mont Kiara di sini pada Rabu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan itu diselaraskan bagi mendapatkan punca sebenar kejadian.
"Siasatan sebelum ini mendapati kebakaran itu tidak melibatkan sebarang unsur atau kesalahan jenayah.
"Bagaimanapun perkara itu termasuk dari segi bangunan berkenaan merupakan antara aspek siasatan yang dijalankan setakat ini dan ia diselaraskan bersama siasatan oleh pihak bomba," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Peluncuran Taman Angkat di Dataran PPR Seri Alam, Fasa Dua di sini pada Sabtu.
Terdahulu, polis menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kes kebakaran yang mengorbankan seorang lelaki berusia 38 tahun di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asiten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal tidak menemukan sebarang tanda perbuatan khianat dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan melecur seluruh badan di bahagian balkoni kondominium itu oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ringkasan AI
- Polis menyelaraskan siasatan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi kes kebakaran kondominium di Mont Kiara yang mengorbankan seorang pelukis
- Siasatan mendapati kebakaran itu tidak melibatkan unsur jenayah
- Siasatan bersama bomba untuk mendapatkan punca sebenar kejadian
- Polis menolak kemungkinan unsur jenayah, kes disiasat sebagai laporan mati mengejut
- Seorang lelaki ditemukan maut di balkoni kondominium dengan kesan melecur seluruh badan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

