'Daniel Quyum masih trauma, belum mampu bercakap' - Bapa

GEORGE TOWN - Lelaki yang cedera parah di dalam kebakaran sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth pada Rabu lalu dilaporkan berada dalam keadaan trauma dan belum boleh bercakap.
Bapanya, Kamarozlan Muhammad, 57 berkata, anaknya, Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an yang telah menjalani pembedahan di bahagian kepala sudah sedar namun masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya.
"Anak saya sudah sedar dan telah pun buka mata. Cuma dia masih berada dalam keadaan trauma dan belum mampu berkomunikasi seperti biasa.
"Dia macam mamai dan ingat-ingat lupa, lebih banyak angguk sahaja bila ditanya. Sekejap lagi saya akan melawat dia lagi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurutnya, seluruh keluarganya bersyukur kerana Daniel telah melepasi tahap kritikal dan berada dalam keadaan stabil.
"Walaupun dia sudah stabil, kami masih berhati-hati untuk bercakap dengannya sebab dia pun macam takut-takut untuk bercakap banyak.
"Bagaimanapun, dia tidak mengadu mengalami kesakitan yang teruk walaupun masih dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan di bahagian kepala," ujarnya.
Dalam pada itu, Kamarozlan berkata, proses tuntutan mayat bekas isterinya, Hayani Yaakob, 50-an masih belum dapat dilakukan kerana perlu menunggu pengesahan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Menurutnya, kemungkinan proses itu akan mengambil masa antara sebulan hingga dua bulan untuk selesai.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Nakhoda 5, Taman Rathna, Butterworth pada pagi Rabu.
Dalam kejadian pada jam 9.41 pagi itu, kebakaran membabitkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, selain dua mangsa itu, seorang lagi mangsa lelaki berjaya dibawa keluar.
Menurutnya, mangsa ditemui cedera di kawasan pintu dapur pada jam 10.21 pagi.
“Dua lagi mangsa, Hayani dan anak angkatnya, Andra berusia lima tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi,” katanya.
Ringkasan AI
- Lelaki cedera parah dalam kebakaran di Telok Air Tawar, Butterworth dan kini dalam keadaan trauma
- Anak kepada Kamarozlan Muhammad, Daniel Quyum Kamarozlan sedar namun masih di ICU dan belum mampu berkomunikasi
- Daniel telah menjalani pembedahan di kepala dan kini dalam keadaan stabil tanpa kesakitan yang teruk
- Proses tuntutan mayat bekas isteri Kamarozlan, Hayani Yaakob, tertangguh menanti pengesahan DNA
- Kebakaran di rumah berlaku di Butterworth, menelan korban dua nyawa dan menyebabkan kemusnahan anggaran 85 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

