Sang juara meniti usia tua di pusat jagaan

PADA satu petang yang tenang, Ahmad Mahmud, 84, duduk di kerusi di ruang tamu tingkat atas sebuah pusat jagaan warga emas di Cheras, Kuala Lumpur.
Matanya memerhati ruang sekeliling, tangannya sesekali menepuk pelapik kerusi sambil menanti kedatangan penulis dengan sabar.
Di sisinya kelihatan sebuah kerusi roda, namun fizikal luarannya menunjukkan beliau masih cergas dan bertenaga.
Suasana sunyi di tingkat atas itu dipenuhi bunyi lembut jam dinding berdetik dan suara sayu penghuni lain berselisih di koridor.
Ahmad mesra dipanggil Cikgu Ahmad kerana pernah menjadi guru pelatih di Institut Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur selain mengajar di beberapa sekolah dan menjadi pegawai sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

Namun, satu perkara yang mengangkat namanya ialah pencapaian unik sebagai satu-satunya atlet negara yang mewakili Malaysia dalam dua disiplin berbeza iaitu dekatlon dan ragbi.
Kini, beliau menghuni pusat jagaan dua tingkat RS Global Home Care Center yang menempatkan kira-kira 20 penghuni.
Tingkat atas hanya menyediakan satu tandas, sementara dua tandas lain terletak di tingkat bawah memerlukan penghuninya menuruni beberapa anak tangga.
Ia sudah tentu menjadi cabaran besar bagi seseorang dengan kecederaan lutut yang lama seperti dialami Ahmad.
Pun begitu, beliau menjalani hari-hari di rumah jagaan tersebut dengan tenang.

“Saya faham kenapa dua anak menghantar saya ke sini. Mereka sibuk dengan kerja dan urusan harian. Mereka juga ada keluarga sendiri.
“Kalau saya duduk sekali dengan mereka, saya risau mereka tidak mampu kawal saya kerana saya ini jenis tak duduk diam,” katanya.
Suaranya kedengaran tenang, namun siapa tahu apa sebenarnya terbuku di hati beliau.
Masa silih berganti, ingatan Ahmad kembali ke zaman gemilangnya.
Anak jati Alor Setar, Kedah itu mula mewakili negara dalam pertandingan ragbi Piala King’s Cup di Thailand pada 1964 dan mewakili Malaysia dalam acara dekatlon di Sukan Asia Bangkok pada 1966.

Rekod mata tertinggi dalam dekatlon yang dicapainya pada 1966 hanya dipecahkan 13 tahun kemudian oleh legenda olahraga, Allahyarham Hanafiah Nasir.
Beliau juga pernah menjadi jurulatih kecergasan skuad bola sepak Selangor era 70-an dan amat rapat dengan legenda Red Giants dan Harimau Malaya, Datuk Mokhtar Dahari dan mengiringi Allahyarham ke Makkah bagi menunaikan umrah selepas Mokhtar didiagnosis penyakit Neuron Motor (MND).
Menceritakan aktivitinya di pusat jagaan tersebut, Ahmad memberitahu hari-harinya diisi dengan rutin sederhana.
Pagi dimulakan dengan sarapan ringan, diikuti senaman ringkas untuk mengekalkan mobiliti, kemudian menatap keluar tingkap ke taman kecil yang menjadi penghubung dengan dunia luar.
Kadangkala, beliau tersenyum sendiri mengenang sorakan penonton, gegaran gelanggang dan detik-detik saat mengibarkan bendera negara di pentas antarabangsa.
Tetapi ada juga detik sepi ketika mata menatap lantai, mengenang saat-saat tidak dapat kembali ke masa lalu.
Ahmad mengakui, pusat jagaan mungkin merupakan pilihan terbaik buatnya kerana sekurang-kurangnya ada pihak yang memantau dirinya.
“Kehidupan di sini tidaklah sempurna tetapi okey,” katanya.
Satu masa dulu, beliau pernah mendapat perhatian daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), namun kini mendakwa sukar untuk menghubungi agensi tersebut.
Walaupun berlapang dada dengan keadaan sekarang, semangat seorang atlet sejati tetap bersinar.
Kadangkala beliau duduk termenung di kerusi, membayangkan kembali detik-detik berlari, melompat dan menentang kesakitan demi lencana di dada.
Di hujung perbualan, beliau menyelitkan satu pesanan penuh makna: “Seorang ibu atau ayah boleh menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu atau ayah.”
Ahmad kini menjalani kehidupan yang jauh berbeza daripada zaman kegemilangannya, namun api semangat seorang atlet sejati tidak pernah padam!
Ringkasan AI
- Ahmad Mahmud, seorang bekas atlet yang mewakili Malaysia dalam dekatlon dan ragbi, kini menghuni pusat jagaan warga emas di Cheras, Kuala Lumpur
- Beliau pernah menjadi guru pelatih dan pegawai sukan di institusi terkemuka seperti UKM dan UM
- Ahmad menghadapi cabaran fizikal seperti kecederaan lutut tetapi menjalani hari-harinya di pusat jagaan dengan tenang
- Beliau memiliki rekod luar biasa dalam sukan dan pernah rapat dengan legenda bola sepak Malaysia, Datuk Mokhtar Dahari
- Walaupun kini jauh dari zaman kegemilangannya, semangat Ahmad sebagai atlet sejati tetap bersinar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

