Sissy Imann sah bergelar isteri, hantaran nombor plat 'SIS5795' jadi tumpuan

PENYANYI Sissy Imann, 30, selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Dr Zamir Hilman Hamzah, 41, dalam majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Jumaat.
Sissy Imann atau nama penuhnya, Sissy Imann Mohammad Kamil dinikahkan sendiri oleh bapanya, Encik Mohammad Kamil Mustaffa, dengan disaksikan ahli keluarga terdekat serta rakan rapat pasangan mempelai.
Penyanyi lagu Mungkin Kamu menerima mas kahwin berbentuk seutas gelang emas bernilai RM6,840.
Dalam majlis itu, Sissy Imann menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki, yang dibalas tiga dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Antara hantaran yang paling mencuri perhatian ialah nombor plat khas kereta 'SIS5795', gabungan simbolik nama Sissy serta tahun kelahirannya, 1995.
Bagaimanapun, jenis kenderaan yang bakal menggunakan nombor plat tersebut masih dirahsiakan serta wang hantaran tidak didedahkan atas permintaan keluarga.
Sebagai simbol permulaan perjalanan bahagia mereka, pasangan itu turut menerima hadiah percutian bulan madu ke Rome, Italy.
Mengimbau detik perkenalan, pasangan ini dipertemukan apabila Zamir pernah merawat Sissy Imann ketika penyanyi itu mendapatkan rawatan pada awal tahun ini.
Hubungan mereka pada awalnya sekadar antara doktor dan pesakit, perlahan-lahan berkembang menjadi persahabatan yang lebih akrab.
Sissy Imann sebelum ini mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dalam satu sesi bertemu media sempena pelancaran single terbaharunya berjudul 'Dengan Kamu' di Kuala Lumpur 1 Disember lalu.
Lagu 'Dengan Kamu' sendiri hadir sebagai sebuah karya peribadi yang sarat emosi tentang proses penyembuhan, belajar mencintai diri dan menghargai insan yang hadir tepat pada waktunya.
Ringkasan AI
- Sissy Imann dinikahkan dengan Dr Zamir Hilman Hamzah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
- Penikahan disaksikan oleh ahli keluarga terdekat dan rakan rapat
- Sissy menerima mas kahwin seutas gelang emas bernilai RM6,840
- Hantaran termasuk nombor plat khas 'SIS5795' yang menyimbolkan nama dan tahun kelahiran Sissy
- Pasangan ini menerima hadiah percutian bulan madu ke Rome, Italy
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
