Janin bayi dalam lori sampah berusia 25 minggu, cedera tengkorak kepala

KUALA LUMPUR - Janin bayi yang dijumpai dalam dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil di sini dianggarkan berusia 25 minggu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, polis telah merekod keterangan empat individu.
"Keadaan tubuh badan janin semasa ditemui mempunyai kecederaan di bahagian perut, tengkorak kepala pecah dan tali pusat putus.
"Penemuan itu disedari pekerja syarikat pengurusan alam sekitar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan pihak polis menerima laporan kes itu pada jam 12.51 tengah hari, Khamis.
Janin yang ditemukan itu ialah bayi lelaki berukuran panjang 35 sentimeter.
Berikutan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Elfi menerusi talian 011-1004 8773 atau hotline Polis Daerah Cheras 03-9284 5050, Polis Kontinjen Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
