Polis kesan individu buang janin bayi

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis mengesan individu terlibat dalam kes penemuan janin bayi lelaki berusia kira-kira 25 minggu yang ditemukan di dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini siasatan masih diteruskan dan pihaknya belum mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, polis juga belum memperoleh maklumat lengkap berkaitan identiti janin tersebut dan mengalu-alukan kerjasama orang awam bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, kita masih mengumpul semua maklumat daripada orang awam, kita mengharapkan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes ini.

"Identiti janin berkenaan masih belum dapat dipastikan dan subjek terlibat juga belum dikenal pasti," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Peluncuran Taman Angkat di Dataran PPR Seri Alam, Fasa Dua di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak polis turut menyiasat dari mana lokasi sebenar beg yang mengandungi janin bayi itu sebelum ditemukan di dalam lori sampah berkenaan.

Terdahulu, janin bayi yang dijumpai dalam dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil di sini dianggarkan berusia 25 minggu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, polis telah merekod keterangan empat individu.

Ujar beliau, keadaan tubuh badan janin semasa ditemui mempunyai kecederaan di bahagian perut, tengkorak kepala pecah dan tali pusat putus.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan pihak polis menerima laporan kes penemuan janin bayi lelaki berukuran panjang 35 sentimeter itu pada jam 12.51 tengah hari, Khamis.

Ringkasan AI

  • Polis mengesan individu terlibat dalam kes penemuan janin bayi lelaki berusia 25 minggu di Bukit Jalil
  • Siasatan masih diteruskan dan suspek belum dikenal pasti
  • Polis meminta kerjasama orang awam dalam penyiasatan
  • Janin ditemukan dalam kondisi cedera serius termasuk perut, tengkorak kepala pecah dan tali pusat putus
  • Empat individu sudah direkodkan keterangan oleh polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!