Setiu Wetlands jana ekonomi setempat

No Image Caption
A
A
A

SETIU - Seramai 16,000 penduduk yang tinggal di jajaran Taman Negeri Setiu Wetlands bakal menerima manfaat kesan daripada pembangunan pengurusan dan pemeliharaan tanah bencah itu pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pembangunan taman tersebut yang terancang akan memberi impak besar dalam konteks pelancongan sekaligus menjana ekonomi untuk penduduk setempat.

Menurutnya, sehubungan itu pelaksanaan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pemeliharaan dan Pengurusan Setiu Wetlands sangat penting supaya pembangunan yang akan dilaksanakan perlu mengikut garis panduan ditetapkan.

“Kita akan pastikan apa-apa pembangunan di kawasan tersebut mesti mengikut garis panduan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) dan barulah ia akan menjamin kelestarian di Setiu Wetlands.

“Kalau tanpa pelan perancangan, akhirnya boleh menyebabkan kita hilang satu khazanah penting dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam RKK tersebut di Sungai Tarom dekat Bandar Permaisuri, di sini,

Hadir sama Pegawai Daerah dan pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Rosdi Awang dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia Datuk Mohd Anuar Maidin.

Alias berharap mendapat kerjasama masyarakat setempat untuk memberikan pandangan dan suara dalam usaha kerajaan negeri menjaga kelestarian Setiu Wetlands untuk generasi akan datang.

Artikel Berkaitan:

Majlis tersebut diadakan bertujuan mengetengahkan perancangan kerajaan negeri untuk memelihara dan memulihara tanah bencah dengan sembilan ekosistem itu kepada umum untuk mendapatkan pandangan dan tindak balas rakyat.