'Tiada wanita patut dinafi hak kerana pakaiannya' - Nancy

SHAH ALAM - Tiada wanita yang sepatutnya dinafikan hak untuk membuat laporan polis hanya disebabkan cara pemakaiannya.
Itu respons Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri susulan dakwaan wanita yang tidak dibenarkan memasuki pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka pada Isnin lalu untuk membuat laporan selepas didapati berpakaian kurang sopan.
Nancy berkata, pihaknya mengalu-alukan siasatan dalaman dibuat dan berharap supaya institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergerak ke arah penguatkuasaan yang mempunyai belas kasihan serta berorientasikan rakyat.
"Ini termasuk melindungi maruah dan keselamatan semua, terutamanya wanita serta kanak-kanak. Tiada wanita yang patut dinafikan hak untuk buat laporan polis hanya kerana pakaiannya.
"Jika bukan perkara mendesak, tiada siapa yang masuk ke dalam balai polis untuk membuat laporan sekadar suka-suka," katanya menerusi hantaran di X pada Rabu.
Sebelum ini, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan, wanita berkenaan hadir ke IPD Jasin untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.
Tambahnya, siasatan dijalankan sejurus menerima aduan dan mendapati insiden tersebut berlaku sekitar jam 5 petang.
Bagaimanapun, jelas Dzulkhairi, anggota bertugas di pintu hadapan memintanya pulang terlebih dahulu untuk menukar pakaian yang lebih bersesuaian sebelum membuat laporan memandangkan wanita terbabit mengenakan skirt paras atas lutut ketika itu.
Ujarnya, pada jam 5.40 petang, wanita berkenaan kembali ke IPD bersama ibunya dengan berpakaian lebih sopan dan dibenarkan masuk untuk membuat laporan polis tanpa sebarang halangan.
Beliau menegaskan, etika pemakaian bagi orang awam yang berurusan di kaunter aduan polis perlu dipatuhi sepertimana ditetapkan dalam surat pekeliling diwartakan.
Bagaimanapun katanya, pihak polis memberikan kelonggaran bagi kes kecemasan atau yang memerlukan tindakan pantas.
Dzulkhairi turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan dan tidak keliru dengan garis panduan etika pemakaian yang ditetapkan.
Ringkasan AI
- Tiada wanita sepatutnya dinafikan hak untuk membuat laporan polis berdasarkan cara pemakaiannya
- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengalu-alukan siasatan dalaman mengenai insiden tersebut
- Wanita itu hadir ke IPD Jasin untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya
- Anggota bertugas meminta wanita itu pulang untuk menukar pakaian sebelum membuat laporan
- Etika pemakaian di kaunter aduan polis perlu dipatuhi tetapi kelonggaran diberikan untuk kes kecemasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

