Guru rugi RM165,800 selepas percaya dakwaan akaun terlibat jenayah

PEKAN – Seorang guru tidak menyangka panggilan mengenai akaun yang kononnya disalahgunakan berakhir dengan kerugian sebanyak RM165,800 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai wakil Touch ‘n Go dan pegawai polis.
Kejadian bermula apabila wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya wakil Touch ‘n Go pada 25 November lalu, yang mengatakan akaun mangsa telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.
“Menerusi panggilan itu, suspek mendakwa akaun bank milik mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram dan kegiatan dadah.
“Mangsa turut diberitahu bahawa dia mempunyai dua waran tangkap kerana didakwa terlibat dalam aktiviti menjual akaun bank kepada sindiket penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Zaidi berkata, mangsa diarahkan membayar wang ikat jamin kepada Bank Negara Malaysia bagi membuktikan dana miliknya bersih daripada sebarang kegiatan jenayah.
Terpedaya dengan arahan tersebut, mangsa memindahkan wang simpanannya secara berperingkat menerusi tiga transaksi ke dalam akaun berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM165,800.
“Mangsa mula mengesyaki dirinya telah ditipu setelah tidak lagi mempunyai wang untuk membuat bayaran dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya terhadap panggilan yang mengaku daripada pihak berkuasa atau institusi kewangan tanpa pengesahan rasmi.
“Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan, selain menyemak nombor akaun mencurigakan di laman sesawang semakmule.rmp.gov.my.
“Mangsa penipuan juga digalakkan untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Seorang guru kerugian RM165,800 akibat diperdaya individu menyamar wakil Touch 'n Go dan pegawai polis
- Wanita 49 tahun itu diberitahu akaunnya disalahgunakan dan terlibat dengan penggubahan wang haram serta kegiatan dadah
- Mangsa diberitahu mempunyai dua waran tangkap dan diarahkan membayar wang ikat jamin kepada Bank Negara Malaysia
- Mangsa memindahkan wang simpanannya menerusi tiga transaksi ke dalam akaun berbeza
- Ketua Polis Daerah Pekan menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan bagi mengelak penipuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

