Pulau Sumatera perlu RM12.8 bilion untuk pemulihan banjir

Salah sebuah jambatan menghubungkan Aceh dan Sumatera Utara yang turut musnah akibat banjir dahsyat itu. Foto AFP
Salah sebuah jambatan menghubungkan Aceh dan Sumatera Utara yang turut musnah akibat banjir dahsyat itu. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Pulau Sumatera yang terjejas banjir dahsyat sejak akhir November lalu memerlukan dana pemulihan dan pembinaan semula berjumlah 51.82 trilion rupiah (RM12.8 bilion).

Angka korban bencana itu meningkat lebih 900 orang manakala kira-kira 274 dilaporkan masih hilang.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, Suharyanto berkata, pembiayaan itu diperlukan di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat yang ketika ini berdepan lonjakan kematian disebabkan bantuan gagal tiba di kawasan terpencil.

"Aceh memerlukan dana sebanyak 25.41 trilion rupiah (RM6.27 bilion). Sumatera Utara dan Sumatera Barat pula masing-masing memerlukan 12.88 trilion rupiah (RM3.18 bilion) dan 13.52 trilion rupiah (RM3.34 bilion).

"Penilaian lanjut perlu dilakukan untuk menilai kemusnahan sebenar. Proses pembinaan semula akan bermula di beberapa kawasan di Medan dan Padang. Penduduk yang terjejas akan ditempatkan di rumah sementara berukuran 40 meter persegi," jelasnya.

Menurutnya lagi, fasa seterusnya bakal menyaksikan penduduk dipindahkan ke kediaman kekal yang dibangunkan Kementerian Perumahan.

Ketika ini, keadaan di beberapa kawasan dilaporkan kekal serius dengan sawah padi, empangan dan perkampungan terjejas teruk.

"Di beberapa lokasi, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani sebelum proses pembinaan semula dapat dilaksanakan. Usaha mengagihkan bekalan bantuan penting termasuk ubat-ubatan dan pakaian juga perlu menjadi keutamaan," tambahnya. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pulau Sumatera memerlukan dana pemulihan dan pembinaan semula berjumlah 51.82 trilion rupiah akibat banjir dahsyat
  • Angka korban meningkat lebih 900 orang dengan kira-kira 274 dilaporkan masih hilang
  • Wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat paling memerlukan pembiayaan untuk pembinaan semula
  • Proses pembinaan semula akan bermula di Medan dan Padang dengan penduduk terjejas ditempatkan di rumah sementara
  • Keadaan di beberapa kawasan kekal serius dan usaha mengagihkan bekalan bantuan penting menjadi keutamaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!