Kelemahan koordinasi operator didakwa jejas keberkesanan sistem pengangkutan awam

SHAH ALAM – Kelemahan koordinasi antara operator didakwa menjadi antara punca pengangkutan awam negara masih belum mencapai tahap keberkesanan yang diharapkan.
Pengerusi Malaysia Land Public Transport Forum, Zac Cheong Sze Hoong berkata, integrasi yang lemah antara perkhidmatan seperti LRT, MRT, bas dan KTM menyebabkan perjalanan pengguna tidak lancar walaupun rangkaian rel semakin berkembang.
Menurutnya, pembukaan laluan baharu seperti LRT3 Shah Alam sememangnya berpotensi mengurangkan kesesakan, khususnya bagi pengguna dari Klang ke Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, namun manfaat laluan itu hanya dapat dirasai jika integrasi antara mod pengangkutan berfungsi dengan baik.
“LRT3 akan membantu sebagai laluan ‘feeder’, tetapi ia tetap bergantung kepada sejauh mana sambungan dengan laluan lain berjalan lancar dan bagaimana pengguna boleh sampai ke stesen dengan mudah,” katanya menerusi TikTok Live Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, kempen kesedaran dan insentif tambang perlu diperluaskan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat meninggalkan kenderaan persendirian dan memilih pengangkutan awam dalam rutin harian mereka.
Zac menjelaskan bahawa pelaburan yang serius daripada kerajaan amat diperlukan kerana banyak isu semasa seperti kekurangan tren, bas lama, penyelenggaraan tidak konsisten serta ketiadaan sambungan bas yang efektif berpunca daripada dana yang tidak mencukupi.
“Masalah pengangkutan awam akhirnya kembali kepada soal pelaburan. Tanpa dana mencukupi, operator tidak mampu membeli tren baharu, menambah bas atau menyelenggara aset dengan sempurna,” ujarnya.
Beliau menambah, ketidakselarasan ini turut menyumbang kepada kualiti perkhidmatan yang tidak konsisten, termasuk jadual yang tidak tetap dan kesukaran akses bagi warga emas serta individu kelainan upaya.
Zac berkata, hanya komitmen pelaburan yang kukuh dan satu badan penyelaras tunggal yang mempunyai kuasa jelas dapat memastikan sistem pengangkutan awam bergerak selari dan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
Ringkasan AI
- Kelemahan koordinasi antara operator pengangkutan awam mengurangkan keberkesanan sistem
- Integrasi yang lemah antara LRT, MRT, bas dan KTM mengganggu kelancaran perjalanan pengguna
- LRT3 Shah Alam berpotensi mengurangkan kesesakan tetapi bergantung kepada keberkesanan integrasi pengangkutan
- Kempen kesedaran dan insentif tambang penting untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam
- Pelaburan yang serius dari kerajaan diperlukan untuk mengatasi kekurangan tren, bas lama dan penyelenggaraan yang tidak konsisten
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

