Hujahan pendakwaan cabar pembebasan Syed Saddiq bermula Khamis

PUTRAJAYA – Peluang terakhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), akan didengar di Mahkamah Persekutuan di sini, pada Khamis.
Mahkamah menetapkan prosiding berlangsung selama dua hari sehingga Jumaat, di hadapan panel hakim yang jumlah dan namanya hanya akan diketahui pada hari prosiding dijalankan.
Kes bermula dengan pasukan pendakwaan selaku perayu membentangkan hujahan bagi memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Kesemua pertuduhan melibatkan satu kes subahat pecah amanah membabitkan dana RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta berjumlah RM120,000, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing melibatkan RM50,000.
Jika mahkamah menolak rayuan pendakwaan, Syed Saddiq, 33, akan dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada semua sabitan dan hukuman. Sebaliknya, jika panel hakim menerima rayuan, beliau akan berdepan semula hukuman penjara, sebatan dan denda yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pada 22 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan 28 alasan rayuan bagi menyokong permohonan supaya Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Jun, dan mengembalikan semula sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa 15 alasan berkaitan pertuduhan subahat pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan berkaitan salah guna harta di bawah Seksyen 403, dan empat lagi berhubung dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Menerusi petisyen rayuan, pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila menyatakan bahawa saksi utama pendakwaan, Rafiq Hakim Razali (SP13), telah memberi keterangan kerana tertekan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tanpa sebarang bukti yang menyokong dakwaan itu.
Prosiding diteruskan dengan hujahan pihak pembelaan diketuai oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang memohon agar keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan, sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid mensabitkan Syed Saddiq atas keempat-empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.
Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin mendapati pertuduhan terhadapnya tidak berasas.
Mahkamah turut menyatakan bahawa tindakan memberi arahan untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan dana.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan kedua membabitkan kesalahan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, antara 8 hingga 21 April 2018, yang dilakukan di Maybank Taman Pandan Jaya, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Dua lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan RM50,000 setiap satu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik tertuduh, dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018 di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru. Ia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLA 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Artikel berkaitan: Hakim khilaf jatuhkan hukuman terhadap Syed Saddiq - Peguam
Ringkasan AI
- Peluang terakhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan
- Prosiding berkenaan berlangsung selama dua hari dengan beberapa hakim mendengar hujahan
- Kes melibatkan tuduhan pecah amanah dana, salah guna harta, dan dua pengubahan wang haram
- Jika mahkamah menolak rayuan pendakwaan, Syed Saddiq dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya
- Pada 25 Jun, Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq dari sabitan dan hukuman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

