Pemuda 20 tahun maut bertembung treler

KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan treler muatan besi di Jalan Kuantan Bypass berhampiran Tempat Pelupusan Sampah Gebeng di sini pada pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, pemandu pacuan empat roda, Celvin Lee Yee Siang, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan menuju ke Gebeng manakala treler itu bergerak dari Gebeng menghala ke Kuantan.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, treler terbabit dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan yang dipandu mangsa.

"Akibat pertembungan itu, treler terbalik dan mengalami kebakaran di bahagian hadapan kira-kira 20 peratus.
"Kebakaran berjaya dipadamkan oleh Pihak Bomba dan Penyelamat Daerah Kuantan, manakala kenderaan pacuan empat roda mengalami rosak teruk," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ashari memaklumkan, susulan itu pemandu treler turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Katanya, hasil semakan mendapati pemandu treler mempunyai 13 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan orang lain.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan kenderaan pacuan empat roda dan treler muatan besi di Jalan Kuantan Bypass
- Pemandu pacuan empat roda, Celvin Lee Yee Siang, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah
- Treler terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan yang dipandu mangsa
- Treler terbalik dan mengalami kebakaran di bahagian hadapan yang berjaya dipadamkan oleh Pihak Bomba dan Penyelamat Daerah Kuantan
- Pemandu treler mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan mempunyai 13 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

